GEORGE TOWN, 4 Ogos — Seramai 20 individu termasuk empat remaja bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melanggar prosedur operasi standard Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), dengan mengadakan parti pada Ahad lepas.
Individu terbabit adalah Muhammad Aznil Mohd Azmi, 20; Muhamad Danial Hakim Jamil, 20; Muhammad Isa Ramli, 20; Mohamad Muhaiman Hassim, 20; Nurul Izzaty Anuar, 20; Mohammad Aidiel Nazeem Farihan, 22; Nur Farah Wahidah Roslee, 23; Nur Amira Mohd Nasir, 24; Mohamad Fekri Amri Mohd Poudzi, 25; dan Nur Farah Hanis Mohd Hazri, 25.
Kesemua tertuduh itu dan enam remaja iaitu Muhammad Faiz Fazlee, 18; Muhammad Afiq Ali,19; Fazrul Hisham Faizal, 19; Nor Athirah Farizami Zali Zaidi, 19; Nur Umairah Mohd Rashidi, 19; Noorilyana Sufi Noorhisham, 19; serta empat remaja bawah umur berusia 17 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.
Mereka didakwa menjalankan aktiviti terlarang itu semasa tempoh kawalan pergerakan di sebuah rumah di Halaman Bukit Gambir 8, pada 1 Ogos kira-kira 12 tengah malam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 8, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021, yang boleh dihukum di bawah Peraturan 17 (1) peraturan sama dengan sabit kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Hakim Norsalha menjatuhkan hukuman denda RM3,000 setiap seorang terhadap 16 individu berkenaan manakala empat remaja lelaki bawah umur dibenarkan ikat jamin RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan menetapkan 7 Sept sebagai tarikh jatuh hukum.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, kesemua tertuduh tidak mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin seberat 0.5 gram (g), 0.6 g methamphetamine dan 0.56 g kanabis di tempat, tarikh dan waktu yang sama.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 12 (3), Seksyen 6 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Majistret R. Manomani membenarkan 16 tertuduh diikat jamin RM2,000 setiap seorang terhadap setiap pertuduhan dengan seorang penjamin manakala empat lelaki bawah umur dibenarkan ikat jamin RM500 setiap seorang bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 5 Okt sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Sementara itu, di mahkamah sama, Muhammad Isa, Mohamad Muhaiman, Nor Athirah dan Nur Umairah yang didapati positif ujian air kencing mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Keempat-empat mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya dan pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM1,500 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Okt sebagai sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabila Huda Muhammad Nazim dan Fatin Nur Athirah Zainudin manakala kesemua tertuduh diwaklil peguam RSN Rayer.
— BERNAMA