Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
PUTRAJAYA, 24 Julai -- Jambatan Seri Wawasan dihiasi dengan Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kemerdekaan yang bakal disambut pada 31 Ogos ini ketika tinjauan FotoBernama hari ini.?Kempen Kibar Jalur Gemilang akan diadakan pada 7 Ogos depan dan tema Hari Kebangsaan yang ke-64 pada tahun ini ialah 'Malaysia Prihatin'.?--fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kibar Jalur Gemilang, semai cinta terhadap Negara

fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 5 Ogos — Berbicara soal merdeka, pastinya yang terlintas di minda umum ialah  kebebasan yang diperoleh negara pada 31 Ogos 1957 selepas mengharungi pelbagai liku, dan kisah suka duka itu “diturunkan” oleh satu generasi kepada generasi seterusnya. 

Namun seiring peredaran masa, pengalaman perit generasi terdahulu dalam memperjuang kemerdekaan negara sukar dihayati sepenuhnya oleh generasi semasa. Justeru, pelbagai usaha dilakukan agar semangat cintakan negara terus tersemat dalam kalangan masyarakat, dan ini termasuk kempen mengibarkan Jalur Gemilang, panji yang melambangkan kedaulatan negara dan identiti bangsa.

“Menjiwai dan mempunyai rasa kesedaran mengibarkan Jalur Gemilang perlu ada dalam hati rakyat tanpa mengira masa, malah seharusnya (pengibaran Jalur Gemilang) lebih meriah pada Hari Kebangsaan,” kata Yang Dipertua Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang Datuk Abdul Kader Md Ali.

Bercakap kepada Bernama, sejarawan itu berkata menerusi pengibaran Jalur Gemilang, masyarakat meluahkan semangat patriotik dan rasa bangga menjadi rakyat negara ini.

“Kita telah mengecapi nikmat kebahagiaan dan kebebasan hasil perjuangan dan pengorbanan mereka (generasi terdahulu). Sebagai tanda kasih sayang kita kepada mereka dan cintanya kita kepada negara yang tidak berbelah bagi, malah berbangga dengan bendera lambang kemegahan negara, ayuh kita kibarkan Jalur Gemilang, menandakan terima kasih yang begitu tinggi kita hadiahkan kepada mereka yang berjasa kepada bangsa dan negara sehingga kita hidup dengan aman dan harmoni,” katanya.

Beliau juga menegaskan semangat tersebut harus dipupuk sejak awal usia agar generasi berkenaan dapat terus memelihara kedaulatan negara pada masa akan datang. 

Lebih baik lagi katanya Jalur Gemilang dikibarkan pada sepanjang masa, manakala generasi muda pula memanfaatkan media sosial untuk “mencantikkan” lagi suasana kegembiraan meraikan ulang tahun hari kemerdekan negara.

SEJARAH JALUR GEMILANG

Menyingkap kisah Jalur Gemilang, Abdul Kader berkata pada 1949, Raja-raja Melayu memberi perkenan agar satu jawatankuasa ditubuhkan bagi menimbang dan memutuskan reka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu, dan untuk itu satu pertandingan diadakan.         “Pertandingan ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu. Pada pertandingan akhir reka cipta dan reka bentuk bendera Tanah Melayu ini,  terdapat tiga reka cipta bendera dipilih untuk penilaian terakhir bagi mendapatkan perkenan Raja-raja Melayu. 

“Akhirnya reka bentuk milik Mohamed Hamzah, seorang arkitek di Jabatan Kerja Raya dipilih sebagai pemenang pertandingan tersebut dan kemudiannya diperakui oleh Majlis Raja-Raja pada tanggal 23 Feb 1950. Selepas itu, beberapa pindaan dibuat antaranya lambang bulan sabit dan bintang pada asalnya warna putih,  ditukar kepada warna kuning sebagai lambang warna diraja,” katanya.

Beliau berkata bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan buat pertama kali pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur.

Dikenali sebagai Bendera Malaysia sejak 1950, pada ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. 

“Nama itu diilhamkan dan diusulkan oleh Datuk Hashim Mat Dris. Cadangan ini dikemukakan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad – sekarang Tun Dr Mahathir) pada tanggal 11 Julai 1997. Pengisytiharan oleh Dr Mahathir (perdana menteri ketika itu) berlangsung pada 11.58 malam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bersempena Hari Kemerdekaan Negara yang ke-40, malam 31 0gos 1997,” katanya.

TERJEMAH CINTA MENERUSI BENDERA DI LAMAN RUMAH 

Menghias rumah menggunakan bendera antara terjemahan cinta kepada negara yang boleh dilihat di halaman rumah seorang pendidik, Normala Md Desa, 58, di Kampung Perlis, Balik Pulau, Pulau Pinang.  

“Saya rasa cukup tenang dan amat gembira bila melihat bendera ditiup angin dan amat cantik pemandangan tatkala bendera berkibar ditiup angin. Rasa puas menyelubungi diri melihat satu mercu kebanggaan negara terus berkibar megah dan di situ lahirnya rasa semangat jati diri kepada negara Malaysia tercinta,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Guru Tadika Perpaduan Pantai Jerejak itu berkata menjadi kelazimannya dan anak perempuan beliau,  Nurul Nadiah Tajuddin, 25, untuk menatarias rumah mereka menjelang ulang tahun hari kemerdekaan.

Pada tahun ini, ibu kepada lima cahaya mata itu bercadang menggunakan tema flora dan fauna.

“Saya akan ambil ranting pokok dan lekatkan bendera. Di halaman rumah banyak pokok bunga, jadi saya akan hias di situ,” katanya yang turut menggunakan bahan terbuang.  Mengulas sumbangannya bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan generasi muda, Normala berkata beliau menugaskan anak muridnya menyiapkan projek berkisarkan kemerdekaan.

“Sekarang  adalah masa terbaik untuk memupuk semangat cintakan negara kerana ibu bapa dan anak-anak banyak menghabiskan masa bersama di rumah. Didik mereka untuk kenal jati diri. Untuk anak murid saya sebagai satu projek PdPR, saya telah meminta mereka buat satu projek reka cipta mercu tanda Malaysia daripada bahan terbuang mengikut kreativiti masing-masing,” katanya yang turut meminta anak murid membuat buku skrap tentang sejarah kemerdekaan bersama ibu bapa. 

Normala berkata beliau kini dalam proses mendapatkan bendera dan akan menyiapkan hiasan pada pertengahan Ogos ini berikutan cuaca di Balik Pulau kini sangat panas, selain keadaan angin kuat yang sedikit-sebanyak menyukarkan pemasangan bendera.

Pada tahun lepas, Normala dan anak perempuannya menjadikan COVID-19 sebagai tema hiasan rumah, yang mana beliau mereka cipta replika COVID-19 menggunakan 14 batang aloi dan kemudian membentuknya menjadi simbol rakyat Malaysia berjuang melawan COVID-19.

Kreativiti Normala menarik perhatian orang ramai yang lalu di hadapan rumahnya sehingga ada yang mengambil kesempatan merakam momen mereka di situ.

Menurut wanita itu, beliau juga pernah membina replika kereta api Bukit Bendera, Jambatan Pulau Pinang serta Menara Berkembar Petronas yang diletakkan di halaman rumahnya. 

Disunting oleh Noor Hayati Muda

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan