KUCHING, 5 OGOS: Golongan gelandangan di Kuching tidak diabaikan apabila seramai empat orang lagi gelandangan menerima suntikan vaksin Covid-19 di Stadium Perpaduan Kuching pada Khamis.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan, Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pelbagai cabaran telah diatasi untuk memastikan golongan gelandangan tidak tercicir daripada menerima suntikan vaksin covid-19.
“Cabaran pertama adalah kami menghadapi cabaran untuk mencari mereka disebabkan mereka ni berpindah-randah.”
“Cabaran kedua ialah dari segi mengetahui tahap kesihatan, biasanya mereka tidak ada menyimpan medical record dan bergantung kepada apa mereka beritahu kepada pihak doktor,” kata beliau.
Jelasnya, cabaran seterusnya yang dihadapi adalah apabila ada antara mereka ini didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah
Menurut beliau lagi, untuk menangani cabaran yang terakhir ialah dengan mengguna pakai saranan Pengarah Jabatan Kesihatan sebelum ini, mereka diberi hanya satu dos vaksin sahaja memandangkan mereka hidup berpindah randah dan sukar untuk kita berhubung.,” katanya ketika ditemubual di Stadium Perpaduan Kuching.
Kumpulan ini diberikan vaksinasi awal memandangkan mereka sering terdedah kepada jangkitan Covid-19.
Terdapat dua cara yang digunakan ketika ini iaitu bagi gelandangan yang tiada masalah mental, mereka dibawa ke Pusat Pemberian Vaksinasi PPV Stadium Perpaduan Kuching.
Bagi gelandangan yang mempunyai masalah mental pula, doktor psikiatri diperlukan untuk membuat keputusan dan memberi kebenaran sama ada mereka layak ataupun tidak untuk disuntik.
Sebelum ini, seramai 23 orang penghuni gelandangan Desa Bina Diri telah selamat divaksinasi.
Inisiatif ini antara usaha Kerajaan Sarawak untuk mengekang penularan Covid-19.