Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Cabaran Azizulhasni dan Shah Firdaus dalam acara pecut berakhir

ByYazid Ibrahim

TOKYO, 5 Ogos — Cabaran Malaysia dalam acara pecut berbasikal trek berakhir hari ini, apabila kedua-dua pelumba negara yang bertanding hari ini, gagal melayakkan diri ke pertingkat suku akhir di Olimpik Tokyo di sini hari ini.

Selepas masing-masing tewas dalam perlumbaan pusingan ketiga 1/8 hari ini, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom juga tewas dalam perlumbaan Repechages 1/8 dalam saringan masing-masing, pada acara yang berlangsung di Veledrom Izu.

Juara bertahan dari Great Britain Jason Kenny, dengan kayuhan lebih bertenaga mencatatkan 10.066 saat (s) dan meninggalkan Azizulhasni di tempat kedua dan pelumba tuan rumah Yuta Wakimoto ketiga pada Saringan Satu perlumbaan Repechages 1/8.

Pada perlumbaan Saringan Dua, Muhammad Shah Firdaus menamatkan perlumbaan hari ini di tempat ketiga, di belakang pelumba Perancis Sebastien Vigier yang memenangi perlumbaan dengan catatan 10.169s, manakala Sam Webster dari New Sealand di tempat kedua.

Pemenang setiap saringan layak ke suku akhir.

Sementara itu dua pelumba Belanda Jeffrey Hoogland dan Harrie Lavreysen masing-masing memenangi perlumbaan ketika bertemu Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus pada perlumbaan Pusingan Ketiga 1/8 hari ini.

Hoogland yang memecahkan rekod Olimpik dengan masa 9.215 saat dalam pusingan kelayakan pada Rabu (4 Ogos), memenangi perlumbaan dengan mencatatkan masa 9.831s iaitu 0.040s lebih pantas daripada Azizulhasni pada perlumbaan saringan Saringan Satu.

Sementara itu Muhammad Shah Firdaus gagal membalas dendam kekalahan kepada Lavreysen pada perlumbaan Pusingan Pertama 1/32 semalam, apabila sekali lagi tewas kepada pelumba Belanda itu yang mencatatkan masa 9.635s untuk memenangi perlumbaan Saringan Dua hari ini.

Kedua-dua pelumba negara itu kini  akan meneruskan perjuangan mereka di Olimpik Tokyo dalam acara keirin lelaki yang akan berlangsung pada Sabtu (7 Ogos).

Azizulhasni merupakan pelumba berbasikal trek negara pertama memenangi pingat Olimpik, apabila pelumba dari Terengganu itu memenangi pingat gangsa di Olimpik Rio 2016, lima tahun lepas.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan