Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Suami dakwa polis cedera, kasari isteri, kertas enkuiri polis dibuka

KUALA LUMPUR, 3 Ogos — Satu kertas siasatan enkuiri polis telah dibuka berhubung laporan seorang pemilik Facebook bernama Gan Gong yang mendakwa isterinya dicederakan dan dikasari oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju ketika ditahan, bulan lepas. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju DSP D.Saralathan berkata pihaknya turut mengesan hantaran berkenaan yang mengandungi gambar serta laporan polis berhubung dakwaan itu. 

“Kertas siasatan ini dibuka susulan laporan dibuat oleh pengadu bagi tujuan menyiasat tindakan polis berkenaan sama ada mengikut peraturan dan undang-undang atau sebaliknya. Siasatan yang terperinci dan telus akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan malam ini. 

Katanya semakan pada 25 Julai lepas kira-kira pukul 4.40 petang mendapati pasukan itu telah menyerbu sebuah rumah di Setapak.

“Semasa serbuan lelaki berusia 41 tahun dan isterinya 31 tahun telah membuat provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menjerit bagi mendapatkan perhatian penduduk sekitar,” katanya. 

“Mereka juga tidak memberikan kerjasama dan telah menghalang polis daripada menjalankan tugas sehingga telah berlaku pergelutan antara polis dengan pasangan itu,” katanya.

Kedua-dua suspek telah dibawa ke pejabat narkotik IPD Wangsa Maju untuk ujian saringan air kencing dan didapati suspek lelaki positif dadah dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, manakala suspek wanita adalah negatif. 

Kedua-dua suspek turut ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan. 

Saralathan berkata selepas dibebaskan dengan jaminan polis pada 31 Julai pukul 2.32 petang, pasangan itu telah membuat laporan polis di Balai Polis Setapak.

Beliau menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika wujud sebarang salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota pasukan itu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan juga diminta untuk menyalurkannya ke IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

— BERNAMA 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan