Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Ordinan Warisan Sarawak dikuatkuasakan sepenuhnya tahun ini – Abdul Karim

KUCHING, 4 Ogos — Ordinan Warisan Sarawak 2019 akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun ini, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata penguatkuasaan ordinan berkenaan adalah bagi memudahkan tugas pengarah Jabatan Muzium Sarawak dalam melicinkan pentadbiran dan tanggungjawabnya ke atas bangunan-bangunan lama serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

“Dengan adanya ordinan yang baharu ini, saya yakin budaya ketara dan tidak ketara, muzium, bangunan, tapak serta monumen bersejarah di Sarawak dapat diurus dengan sebaik-baiknya demi kebaikan dan kepentingan semua masyarakat,” katanya semasa berucap merasmikan majlis sambutan Ulang Tahun Ke-130 Muzium Sarawak di sini hari ini.

Muzium sejarah Sarawak itu siap dibina pada 1891 hasil usaha Rajah Putih Kedua Sarawak Charles Brooke yang sangat meminati sejarah alam semula jadi di negeri itu dan ia merupakan muzium yang pertama dibina di kepulauan Borneo ketika itu.

Menurut Abdul Karim memandangkan kepentingan Muzium Sarawak kepada pembangunan sosioekonomi negeri, kerajaan pada 2015 telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan muzium itu mengikut standard antarabangsa.

Abdul Karim berkata kerja-kerja pemuliharaan telah selesai pada 2020 dan pengisian pameran akan dilakukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan mempamerkan sejarah pembangunan Muzium Sarawak serta koleksi alam semula jadi.

Beliau berkata pembangunan Muzium Sarawak di bawah projek Kampus Muzium Sarawak akan menjadi pemangkin kepada kemajuan bandar raya Kuching.

Menurutnya muzium merupakan destinasi lawatan yang popular dan amat digemari oleh setiap pengunjung yang datang ke sesebuah bandar dan jumlah pelawat ke muzium adalah lebih ramai berbanding di lokasi tarikan lain.

“Pada 2019, Sarawak menerima seramai 4.66 juta pelancong dengan mengutip hasil sebanyak RM11.6 juta dan salah satu penyumbang kepada jumlah tersebut adalah sektor warisan,” katanya.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan