Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
KUALA LUMPUR, 26 Julai -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA KUALA LUMPUR, July 26 -- Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin make a statement on the National Recovery Plan (PPN) at the special sitting of the Dewan Rakyat today. --fotoBERNAMA (2021) COPYRIGHT RESERVED

Apabila Muhyiddin lancarkan ‘serangan balas’….

ByFirdaus Ismail

Analisis

Oleh MOHD FIRDAUS ISMAIL

SEKIRANYA pasangan badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mengamalkan taktik bertahan sewaktu bertemu juara dunia tiga kali dari Indonesia, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan dalam perebutan pingat gangsa di Sukan Olimpik baru – baru ini, kem badminton negara pastinya kempunan dan pulang dengan tangan kosong.


Duo kebanggaan negara itu menukar corak permainan mereka selepas tewas game pertama apabila melakukan serangan demi serangan sehingga menumbangkan wakil negara jiran itu dalam dua set berikutnya dan seterusnya keluar sebagai pemenang.
Benar, ‘sepak terajang’ dunia sukan dan politik berbeza, namun akarnya sama, iaitu hanya yang kental dan tidak lemah akan terus bertahan dan mendominasi arena.


Petang semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan serangan ala peluru berpandu apabila melabelkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘ternyata gagal di mata rakyat, telah mempersendakan Yang di-Pertuan Agong dan seterusnya menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagi membuktikan bukan hanya beliau seorang yang menarik sokongan, Ahmad Zahid turut ‘membawa’ beberapa Ahli Parlimen untuk ‘berdiri’ di sisinya sepanjang sidang media secara maya berlangsung.Antaranya Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Azalina Othman Said (Pengerang), Datuk Ahmad Maslan (Pontian), Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang), Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling), Mohd Nizar Zakaria (Parit), Ahmad Jazlan Yaakub (Machang), Ahmad Nazlan Idris (Jerantut) dan Ramli Mohd Nor (Cameron Highland).
Sebelum itu, seorang Ahli Parlimen UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong) mengumumkan beliau meletak jawatan selaku Menteri Tenaga dan Sumber Asli dalam kabinet Muhyiddin.

Selepas sidang media berkenaan, Azalina yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat turut menyatakan sokongan terhadap keputusan UMNO malahan beliau dijangka melepaskan jawatannya di Parlimen dalam masa terdekat, satu lagi langkah yang dijangka memberi tekanan kepada PN.
Impak penarikan sokongan UMNO semalam menyebabkan pemimpin – pemimpin utama Kerajaan PN termasuk Peguam Negara ‘panik’ dan ‘mengunjungi kediaman Muhyiddin malam tadi dan kesemua mereka meninggalkan Bukit Damansara kira-kira pukul 1 pagi.
Kurang 24 jam selepas serangan kem UMNO ‘berhaluan kiri’ terhadap Muhyiddin, nampaknya beliau tidak menunggu lama untuk tampil membuat serangan balas dan mempertahankan dirinya serta Kerajaan PN.
Menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen serta ditonton puluhan ribu pelayar menerusi media sosial, Muhyiddin berkata, beliau masih Perdana Menteri yang sah kerana mempunyai sokongan majoriti yang mencukupi.
Tambah Perdana Menteri, beliau tahu ada ‘pihak -pihak tertentu’ yang cuba menangguk di air yang keruh.

Secara terbuka, Ahli Parlimen Pagoh itu mendakwa, pihak tertentu yang dimaksudkan oleh beliau kurang senang dengan ketegasannya yang tidak mahu melayan tuntutan ‘mereka’ termasuklah desakan supaya beliau masuk campur urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.


Walaupun tidak menyebut nama, peminat politik tempatan cukup maklum bahawa Ahmad Zahid kini sedang berdepan perbicaraan mahkamah membabitkan pengubahan wang haram manakala Najib pula sedang dibicarakan atas beberapa tuduhan menyalahguna kedudukannya untuk memperolehi rasuah.

Namun bekas pemimpin nombor satu dan dua negara itu sebelum ini telah menafikan mereka menuntut supaya kes mahkamah yang sedang dihadapi digugurkan sebaliknya mahu menghadapi proses perbicaraan secara adil.
Serangan balas Muhyiddin hari ini juga agak ‘berbisa’ dan merobek hati penyokong setia UMNO apabila beliau berjaya ‘mengangkut’ Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Naib Presiden UMNO) untuk berdiri di sebelahnya semasa perutusan khas tadi.

Dua Menteri dari MCA dan MIC juga yang sebelum ini dilihat sebagai rakan rapat UMNO dalam Barisan Nasional (BN) juga tampil bersama -sama Muhyiddin tengah hari tadi.
Menutup bicaranya, Muhyiddin menegaskan beliau tidak gentar untuk berdepan usul undi percaya di Parlimen pada bulan depan.
Di sebalik kekalutan yang berlaku, beliau memberi jaminan bahawa Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.

Beliau juga mahu memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual apatah lagi hari ini negara kita sekali lagi mencatatkan rekod jangkitan tertinggi kes positif baharu iaitu melebihi 19,000 kes!.

Di pihak rakyat, perebutan kuasa politik yang seolah – olah tidak berpenghujung semakin membosankan apatah lagi ketika ini ramai yang semakin tersepit akibat kegiatan ekonomi yang terbatas dan sekatan pergerakan yang masih dikuatkuasakan di sebahagian besar kawasan di negara ini.

Semoga negara tercinta ini tidak tumbang dibadai penyakit tiga serangkai iaitu gelora politik berpanjangan, pandemik maut yang terus menular dan kelembapan ekonomi global yang turut mencengkam negara. Kita berhak menikmati situasi yang lebih baik!

Disclaimer: The views and opinions expressed in this article are those of the author(s) and do not necessarily reflect the position of TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan