TANJUNG MANIS, 3 OGOS: Akibat lesen bot dan dokumen perjalanan yang tamat tempoh, nasib enam kru warga Thailand kurang baik apabila ditahan pihak berkuasa pada jarak lebih kurang 44 batu nautika darI Tanjung Jerijeh, Belawai.
Mereka yang berusia antara 32 hingga 54 tahun itu ditahan sekitar jam 5:30 petang, pada Ahad.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mohd Ariz Md Kassim berkata bot tersebut dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh Kapal Maritim Semilang ketika rondaan Op Permai dijalankan di perairan Belawai.
“Tiga daripada enam kru yang ditahan didapati memiliki dokumen perjalanan atau passport yang telah tamat tempoh,” katanya.
Peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan sekitar 7.2 tan metrik ikan campur dirampas untuk siasatan lanjut.
Kesemua kru akan menjalani ujian saringan COVID-19 sebagai langkah berwaspada setibanya di Jeti Penumpang Tanjung Manis.
Kes disiasat di bawah Akta PERIKANAN 1985 kerana dokumen lesen vesel tamat tempoh dan Akta Imigresen 1959/63 kerana passport tamat tempoh.