SHAH ALAM, 3 Ogos — Tindakan agresif seorang tekong tongkang merempuh bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membawa padah apabila tongkang itu karam dan 19 penumpang yang kesemuanya warga asing hampir lemas di kedudukan sekitar 2.5 batu nautika barat Sungai Serdang Besar, Kapar, Klang semalam.
Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata pada kejadian sekitar 1 pagi itu, bot Penggalang 41 APMM yang sedang melakukan rondaan bersepadu dalam Op Benteng laut mengesan sebuah tongkang kayu mencurigakan sedang bergerak tanpa sebarang nyalaan lampu menuju ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.
“Sebaik sahaja dipintas untuk pemeriksaan, tekong tongkang tersebut telah bertindak agresif dan cuba meloloskan diri dengan merempuh bot APMM menyebabkan tongkang tersebut karam di lokasi kejadian dan kesemua 19 penumpang serta tekong jatuh ke laut sehingga hampir lemas.
“Bagaimanapun kesemua mangsa diselamatkan oleh anggota Penggalang 41 dengan bantuan dua aset polis dan satu aset Tentera Laut Diraja Malaysia yang juga turut serta dalam Op Benteng Laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rosli berkata kesemua penumpang berumur lingkungan 20 hingga 45 tahun terdiri daripada 16 lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta seorang lelaki warga Pakistan termasuk tekong ditahan.
“Seramai 12 daripadanya gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tujuh lagi mempunyai pasport tanpa cop keluar atau masuk secara rasmi,” katanya.
Mohd Rosli berkata rempuhan tersebut telah menyebabkan kerosakan di bahagian sisi Penggalang 41, namun kesemua anggota tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu keluar Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. Kesemua tahanan telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM bagi tindakan lanjut,” katanya.
— BERNAMA