KUCHING, 3 OGOS : Arahan supaya tidak membelanjakan wang untuk menerbitkan ucapan tahniah sempena Ulang tahun ke-71 Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Sarawak.
Sebaliknya, Abang Johari mengajak semua untuk menyumbang kepada Tabung Bencana Negeri Sarawak daripada menggunakan wang tersebut untuk membeli ruangan dalam terbitan untuk ucapan tahniah sempena ulangtahun beliau.
Sejak pentadbiran Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang mesra dengan panggilan Tok Nan, iklan ucap tahniah tidak digalakkan kerana dianggap membazir.
Tok Nan sebelum ini menasihatkan pengiklan agar menyumbangkan peruntukan berkenaan kepada badan kebajikan.
Dalam pada itu, Abang Johari dalam ucapannya pada ulang tahun kelahirannya yang ke-70 pada tahun lepas memberitahu, sebagai seorang ahli politik, menjangkau usia 70 tahun ke atas adalah bermakna kerana ia adalah usia matang untuk memimpin sesebuah parti politik atau sesebuah kerajaan negeri.
Menurutnya, beliau akan terus berkhidmat selagi diperlukan oleh rakyat, khususnya para pengundi.
Abang Johari, anak jati negeri Sarawak, dilahirkan pada 4 Ogos 1950 di Limbang.
Beliau merupakan putera Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang pertama. Tun Abang Haji Openg,
Sebagai anak pemimpin tertinggi negeri, perjalanan politik Abang Johari sering dianggap mudah.
Hakikatnya, a hanyalah salah satu faktor dalam menentukan kejayaannya dalam mengharungi kerjaya sebagai ahli politik.
Selama pembabitkannya dalam politik dan pemerintahan negeri, Abang Johari telah bekerja keras dengan sabar dan jujur demi parti dan ibu pertiwinya.