Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
KUALA LUMPUR, 3 Ogos -- Suri rumah, Rosmawati Mohd Zain, 46 ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi menghadapi satu pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial Facebook miliknya pada Mei lepas. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Suri Rumah menangis didenda RM9,000 kerana hina Agong

KUALA LUMPUR, 3 Ogos — Suri rumah, Rosmawati Mohd Zain, 46, (kiri) ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi menghadapi satu pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial Facebook miliknya pada Mei lepas. –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 3 Ogos — Seorang suri rumah yang didenda RM9,000 kerana membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong melalui laman sosial Facebook miliknya, menangis di Mahkamah Sesyen di sini hari ini sambil mengakui perbuatannya itu adalah bodoh.

Hakim M. M Edwin Paramjothy menjatuhi hukuman itu ke atas Rosmawati Mohd Zain, 46, selepas dia mengaku bersalah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menganiayai orang lain, melalui Facebook menggunakan nama profil ‘Rosmawati Mohd Zain’ pada 7.06 malam, 25 Mei lepas.

Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 1.06 tengah hari, 1 Jun lepas.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmawati dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda berkenaan.

Ketika rayuan, Rosmawati yang tidak diwakili peguam memohon denda ringan atas alasan dia insaf dan menyesal dengan perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

“Saya seorang suri rumah dan mempunyai empat anak. Saya terlalu emosi waktu itu. Saya menyesal dan berjanji tidak akan meluah perasaan melalui Facebook. Saya akui, saya buat tindakan bodoh,” rayunya sambil menangis teresak-esak.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

“Kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 semakin berleluasa. Hari ini sahaja dua kes dituduh. Di dalam kes hari ini, tertuduh membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong iaitu individu yang paling dihormati dalam sistem Perlembagaan,” katanya.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan