KUCHING, 3 Ogos: Mengambil kira kesulitan yang sedang melanda banyak isi rumah ekoran keadaan ekonomi semasa, kerajaan Sarawak akan melanjutkan diskaun bil elektrik dan diskaun bil air sehingga Disember 2021.
Menurut Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, kerajaan prihatin terhadap kesukaran untuk memenuhi keperluan asas masing-masing termasuk membayar bil utiliti.
“Bagi bekalan elektrik, rakyat layak mendapat potongan harga antara 5 hingga 25 peratus di bawah pakej BKSS dan akan memberikan manfaat kepada 647,000 pelanggan dari sektor domestik, komersial dan perindustrian
“Bagi bekalan air pula, rakyat berhak mendapat potongan harga antara 10 hingga 25 peratus dari bil air yang akan memanfaatkan hampir 647,000 pelanggan kediaman, komersial, dan industri,” ujarnya menerusi satu kenyataan, pada Selasa.
Diskaun bagi bil air berjumlah RM32.1 juta dalam tempoh dari Julai hingga Disember tahun ini akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.
Bagi diskaun bekalan elektrik Kerajaan Sarawak akan menanggung diskaun kira-kira RM166.8 juta dalam tempoh enam bulan dari Julai hingga Disember tahun ini.
“Diskaun itu juga dijangka akan menelan belanja sekitar setengah bilion ringgit (RM583 juta) secara keseluruhan sejak pertama kali diperkenalkan pada April 2020 untuk tempoh hingga Disember 2021,” ujar Dr Rundi.
Pelanggan yang masih menghadapi kesukaran untuk membayar bil dinasihati menggunakan rancangan pembayaran fleksibel Sarawak Energy untuk pembayaran bulanan lebih berpatutan.
Pihak Kementerian Utiliti akan terus memastikan rakyat Sarawak mendapat manfaat daripada struktur tarif cekap, adil dan saksama yang diberikan kepada pelanggan, sekaligus mencerminkan kos sebenar penawaran kepada pelbagai kumpulan pelanggan.
“Kerajaan Sarawak terus mendahulukan rakyat dengan menumpukan perhatian pada usaha meringankan beban ekonomi rakyat dalam tempoh yang mencabar akibat pandemik COVID-19, terutamanya bagi mereka yang sangat memerlukan bantuan,” ujarnya.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 28 Mei lalu mengumumkan diskaun bil elektrik dan diskaun bil air untuk rakyat Sarawak di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0.