JULAU, 3 OGOS: Pemandu kenderaan yang terlibat dalam kemalangan langgar lari di Jalan Julau Nanga Entabai, Julau sehingga menyebabkan kematian seorang remaja perempuan digesa menyerah diri di ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau.
Ini susulan kemalangan maut yang membabitkan dua orang remaja di lokasi tersebut sekitar jam 9 malam Isnin.
“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati di jalan raya dan kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini, anda diminta untuk membuat laporan kepada Ibu Pejabat Polis Julau,” kata Ketua Polis Julau DSP Andam Sulin.
Difahamkan kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari Rumah Changgan Nanga Ejit menuju tapak Perumahan Baharu untuk mendapatkan capaian internet apabila berlakunya kemalangan tersebut.
“Si mati mengalami kecederaan parah di kepala dan sempat dibawa ke Klinik Kesihatan Julau untuk pemeriksaan. Namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas,” jelasnya.
Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan susulan manakala seorang lagi mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.