TOKYO, 2 Ogos — Memasuki hari ke-11 berlangsungnya Sukan Olimpik Tokyo 2020, tiada atlet Malaysia yang bertanding bagi merebut pingat hari ini.
Malah, pada saingan melibatkan wakil tunggal negara di temasya sukan itu hari ini membabitkan atlet pelayaran Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali dalam pusingan terakhir acara International 470 wanita, telah ditunda esok berikutan kekurangan kelajuan angin di kawasan pulau di Teluk Sagami itu.
Perlumbaan kesembilan dan ke-10 itu pada awalnya dijadual bermula 12.05 tengah hari waktu tempatan (11.05 pagi waktu Malaysia) di Enoshima Yacht Harbour.
Selepas lapan perlumbaan, Nuraisyah-Juni kini menduduki tangga ke-20 daripada 21 pelayar secara keseluruhan dengan 130 mata bersih dan berdasarkan kedudukan berkenaan peluang kepada gandingan negara itu untuk berada dalam kelompok tiga teratas, sudah tertutup.
Selain aksi kedua-dua atlet pelayaran itu, kini hanya tinggal lima atlet yang bakal membawa cabaran negara dalam usaha merealisasikan sasaran tiga pingat ditetapkan pada temasya sukan berprestij itu.
Setakat ini, Malaysia hanya meraih satu pingat gangsa menerusi pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang juga pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo.
Pasangan muda negara itu menumpaskan beregu Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 17-21, 21-17, 21-14 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat acara berkenaan di Musashino Forest Sport Plaza, pada Sabtu lepas (31 Julai).
Selepas beberapa atlet diharapkan menyumbangkan pingat buat Malaysia pada temasya Olimpik itu, gagal berbuat demikian, sandaran kini diletakkan ke atas bahu Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong (terjun); Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek) serta Kelly Tan (golf).
Sebelum ini, perseorangan badminton lelaki negara Lee Zii Jia yang diharapkan menghadirkan pingat buat negara terkandas di pusingan 16 terbaik, begitu juga dengan gandingan Pandelela Rinong – Leong Mun Yee yang menamatkan saingan acara terjun 10 meter platform seirama wanita pada kedudukan kelapan.
Kini harapan peminat sukan tanah air pastinya terarah kepada ratu terjun negara Pandelela untuk menyumbangkan pingat di Pusat Akuatik Tokyo.
Penerjun kelahiran Sarawak itu bersama Jun Hoong akan beraksi dalam acara 10 meter platform individu wanita yang akan bermula pada Rabu (4 Ogos).
Selain itu, Azizulhasni yang mencipta sejarah atlet berbasikal Malaysia pertama meraih pingat di pentas Olimpik, juga diletakkan harapan tinggi untuk meraih pingat, terutamanya emas pertama Malaysia pada temasya sukan itu kali ini.
Azizulhasni yang meraih pingat gangsa pada edisi Rio 2016 akan beraksi dalam acara keirin dan pecut pada temasya Olimpik Tokyo, pernah mencipta sensasi dengan muncul juara keirin di Kejohanan Dunia 2017 di Hong Kong, selepas hanya memperoleh pingat perak pada 2010 dan gangsa pada 2015 dan 2016.
Penampilan pelumba muda Muhammad Shah Firdaus yang turut beraksi dalam acara keirin dan pecut, juga menjadi harapan agar dapat menyumbangkan pingat di Tokyo, apabila acara pecut dan keirin, masing-masing membuka tirai saingan pada Rabu (4 Ogos) dan Sabtu (7 Ogos) di Velodrom Izu, Shizuoka.
Bintang dalam pembikinan itu menjadi prospek dalam meraih pingat dan tidak mustahil mampu mencipta kejutan menyumbang emas kepada Malaysia, seperti pernah dilakukannya di beberapa kejohanan antaranya Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia dan Kejohanan Keirin Victoria, apabila muncul juara mengatasi seniornya, Azizulhasni sebelum ini.
Di Kasumigaseki Country Club pula, dari segi percaturan di atas kertas pemain golf utama wanita negara Kelly Tan berdepan tugas sukar untuk berada dalam kelompok tiga terbaik apabila memulakan saingan dalam acara golf wanita individu pada Rabu ini (4 Ogos).
Sukan Olimpik Tokyo 2020 berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
— BERNAMA