KUCHING, 3 OGOS: Penyertaan rakyat Sarawak secara inklusif dalam perkhidmatan kewangan perlu diberi perhatian dengan mengambilkira keadaan demografi di Sarawak yang menjadi antara cabaran agenda pembangunan ekonomi dan sosial negeri, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg
Abang Johari berkata akses kewangan di Sarawak perlu lebih efektif dan efisien demi bergerak seiring dengan pembangunan pesat ekonomi negeri melalui penambahbaikan infrastruktur perkhidmatan kewangan diambil kira.
āKita berharap institusi kewangan menawarkan solusi inovatif untuk produk dan saluran perkhidmatan mengikut keperluan masyarakat,” katanya dalam Amanat sempena Kempen Kesedaran Kewangan Sarawak (Maya) – ViSFA iaitu program inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM), pada Selasa.
Jelasnya, penambaikan infrastruktur terus diutamakan kerana keperluannya yang dijangka meningkat ekoran perkembangan ekonomi.
Katanya lagi, 40% penduduk Sarawak tinggal di kawasan luar bandar di mana punca pendapatan tertumpu kebanyakkannya pada pertanian dan perladangan.
Pada masa sama, Abang Johari turut mengalu-alukan produk kewangan berpatutan seperti produk Perlindungan Tenang iaitu inisiatif kebangsaan untuk menyediakan pelan insurans dan Takaful mampu milik (seperti pelan insurans kebakaran rumah kampung/rumah panjang) supaya dapat melindungi aset kewangan dan orang-orang tersayang.
“Melalui Perlindungan Tenang, semua lapisan masyarakat kini boleh membeli atau menyertai pelan perlindungan yang mampu dan mudah difahami, dengan proses tuntutan yang senang dan ringkas.
“Bagi memastikan tiada yang ketinggalan dalam agenda kewangan, Sarawak kekal komited untuk meningkatkan tahap literasi kewangan dan memupuk tabiat dan sikap yang bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan di kalangan rakyat Sarawak.
“Ini kerana di saat individu itu berupaya untuk menguruskan kewangan dengan baik, ia akan membantu dalam meningkatkan kualiti kehidupan individu tersebut ke arah yang lebih baik,ā katanya.