SEREMBAN, 2 Ogos — Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua cucu perempuannya.
Lelaki yang berusia 62 tahun itu didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas cucunya yang berusia 10 dan lapan tahun dalam sebuah rumah di Felda dekat sini, pada 11 malam antara Ogos hingga September tahun lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Hakim Diana Md Razali membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati mangsa dan menetapkan 2 Sept untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Harun manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.
— BERNAMA