WALAUPUN mempunyai pengalaman bertahun-tahun sebagai pelakon, Tony Eusoff mengakui dirinya gementar apabila julung-julung kalinya tampil sebagai pembaca pemberita undangan TVS.
Aktor kacak kelahiran Sarawak ini mendedahkan beliau terpaksa berulangkali berlatih membaca “teleprompter” yang dibelinya dari Shopee.
“Saya buat persediaan dengan bantuan adik saya, berlatih membaca teleprompter di hadapan kamera dari rumah kami di Kuala Lumpur.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada TVS dan Che Mie (CEO Sarawak Media Group Suhaimi Sulaiman) atas peluang istimewa ini,”katanya ketika dihubungi.
Sabtu lepas, Tony telah membuat kemunculan sulungnya dengan TVS melalui segmen Inspirasi TVS di mana beliau menyampaikan berita laporan khas TVS mengenai beras berau dan kelulut.
Sebelum itu, beliau sempat menunjukkan aksi lucunya di belakang tabir yang memperlihatkannya bersahaja memaparkan karakter lucu beliau memakai pakain formal pada bahagian atas dan hanya berseluar pendek di bahagian bawah melalui perkongsian beliau di Facebook dan Instagram beliau.
“Promo” beliau sendiri di ruangan Instagram miliknya yang memaparkan aksi lain daripada yang lain iaitu telah mendapat lebih 3,000 likes di Instagram dan Tweeter dan lebih seribu ulang kicau.
Menurut beliau, laman Instagram beliau juga turut menjadi tumpuan dengan bilangan “followers’ yang kian meningkat sejak kemunculannya di TVS sebagai pembaca berita.
Tambah beliau lagi, rakan-rakan serta ahli keluarganya turut tidak ketinggalan mengikuti beliau membaca berita Utama dalam segmen Inspirasi TVS.
“Walaupun pernah menjadi pengacara radio jemputan pada tahun 2011, pengalaman ini amat berbeza kerana saya perlu membaca teleprompter tetapi juga perlu tampak bersahaja tanpa kelihatan saya sebenarnya sedang mebaca teleprompter.
“Pengalaman ini sememangnya sesuatu yang berbeza, sesuatu yang baru buat saya dan sayang memang tak sabar untuk membaca berita lagi pada masa akan datang jika masih ada rezeki,” tambah beliau.
“Memang saya seorang yang suka bergurau dan membuat kelainan. Ya lah, kan dalam berita hanya menampakkan bahagian atas dan formal?
“Apa-apapun rasa memang seronok dapat sedikit-sebanyak ‘bersama-sama’ orang kampung saya di Sarawak yang mengikuti berita TVS.
“Memang rasa bangga kerana dapat mendekati orang-orang Sarawak, orang kampung saya,” tambah Tony.
Tony antara barisan selebiti yang memeriahkan segmen Inspirasi TVS selain penyanyi seperti Melissa Francis, Dewi Seriestha dan Harry Francis.
Jangan lupa ikuti Inspirasi TVS hanya di Utama TVS setiap Sabtu mulai jam 8 malam hanya di saluran 122 Astro dan MyFreeview!