KUCHING, 2 OGOS: Seorang lelaki yang mengamuk sambil mengacukan kayu ke arah anggota keselamatan kerana tidak dibenarkan keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Telaga Air berakhir menyebabkannya diberkas polis.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Syhong, anggota polis bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang sedang bertugas di PKPD Kampung Telaga Air telah memujuk suspek dan meminta suspek supaya balik ke rumah tetapi suspek enggan berbuat demikian.
Kejadian tersebut juga telah tular di media sosial.
“Dalam kejadian 2.30 petang itu, suspek berusia 30 tahun dipercayai marah dan mengamuk kerana tidak berpuas hati apabila tidak dapat keluar dari kawasan PKPD yang dikawal ketat oleh pihak keselamatan.
“Suspek bertindak mengacukan kayu panjang ke arah anggota keselamatan dan berlaku pergelutan antara anggota keselamatan dan suspek,” kata Lim.
Menurutnya, suspek berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada MPV untuk tindakan lanjut. .
Tambahnya, suspek telah dibawa ke Balai Polis Siburan untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan suspek direman selama empat hari untuk membantu siasata.
“Orang ramai yang berada di kawasan PKPD perlulah sentiasa mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan bersabar sementara tamat tempoh PKPD demi komuniti setempat khususnya dan kesejahteraan semua.