MIRI, JULAI 30: Sejak kakinya terpaksa dipotong 20 tahun lalu,Chin Pin Kian, 63, hampir berputus asa untuk meneruskan kerana tidak dapat menerima hakikat beliau bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU).
Ong merupakan seorang pemandu bas sekolah tetapi terpaksa berhenti kerja selepas kakinya terpaksa dipotong akibat penyakit misteri.
Pelbagai cara telah digunakan untuk meneruskan hidup seperti biasa demi menyara keluarga, akhirnya Chin menggunakan hobinya iaitu berkebun untuk meneruskan kehidupan dan akhirnya dapat menyara keluarga dengan hasil bercucuk tanam dari belakang rumahnya.
Ketika ditemui TVS, dia mengakui isteri dan anak-anaknya menjadi pembakar semangat bagi meneruskan hidupnya seperti insan yang lain sejak bergelar OKU.
“Sejak tahun 2000 tu saya terpaksa potong kaki kerana penyakit misteri yang saya hidapi.
“Pada mulanya memang sukar dan saya mengambil masa dua tahun untuk membiasakan diri kerana pergerakan saya terbatas tetapi saya kuatkan semangat demi isteri dan anak-anak yang masih kecil dan bersekolah iaitu di tadika dan sekolah menengah ketika itu,” katanya.
Beliau bersyukur Persatuan Tzu Chi memberi bantuan bulanan kepada Chin. Ditambah pula isterinya tidak bekerja, kebun yang Chin miliki sekarang menjadi sumber rezeki sebelum kaki dia dipotong.
Sehingga kini, rutin hariannya hanyalah menjaga kebun. Isterinya pula membantu dengan mengambil upah menjadi pencuci rumah.
Pada mulanya, aktiviti berkebun bagi Chin agak sukar kerana banyak proses seperti mencangkul dan bertanam memerlukan masa untuk belajar, namun berkat kesabaran yang tinggi,beliau cekalkan hati dan terus mencuba.
“Saya rasa pengorbanan saya berbaloi kerana dengan hasil bercucuk tanam inilah saya mampu memastikan anak-anak saya mampu melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading,” kata Chin.
Antara hasil sayur-sayuran yang diusahakannya adalah terung, cili, cangkuk manis, kucai, keladi, dan pelbagai lagi jenis sayuran yang beliau jual sendiri dari rumah beliau.