ANKARA, 2 Ogos — Perenang Australia, Emma McKeon, meraih dua lagi emas di Olimpik Tokyo pada Ahad, sekali gus menjadi atlet renang wanita pertama yang memenangi tujuh pingat dalam satu kejohanan.
Emas pertama perenang berusia 27 tahun itu dimenangi dalam acara 50 meter (m) gaya bebas dengan catatan masa 23.81 saat, yang juga rekod baharu Olimpik.
Atlet itu kemudian menyumbang satu lagi emas buat negaranya menerusi acara 4x100m rampaian berganti-ganti, lapor Agensi Anadolu.
McKeon, pulang dengan empat emas dan tiga gangsa, menyamai rekod gimnas Soviet, Maria Gorokhovskaya.
Dua lagi emas McKeon diraih dalam acara 100m dan 4x100m gaya bebas. Pingat gangsa pula diperoleh menerusi 100m kuak kupu-kupu, 4x200m gaya bebas dan 4x100m rampaian campuran.
Pada Olimpik Rio 2016, beliau membawa pulang satu emas, dua perak dan satu gangsa.
— BERNAMA