Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Peningkatan kes Covid-19 punca pengurangan kutipan darah

PUTRAJAYA, 1 Ogos — Peningkatan kes COVID-19 antara 31 Mei dan 25 Julai telah menyebabkan pengurangan kutipan darah yang ketara di seluruh negara terutama di Lembah Klang berikutan penurunan bilangan penderma untuk tampil menderma, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata antara faktor penurunan itu adalah kebimbangan masyarakat serta penderma darah terhadap keselamatan sepanjang proses menderma darah serta pembatalan kempen derma darah oleh penganjur.

“Tren penurunan ini amat membimbangkan dan boleh menjejaskan keupayaan dalam perawatan pesakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham menegaskan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Pusat Darah Negara (PDN) dan tabung-tabung Darah sentiasa mengutamakan keselamatan penderma darah, penganjur kempen derma darah dan petugas bagi memastikan proses pendermaan darah yang selamat.

Menurutnya, setiap tabung darah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan ‘Garis Panduan Pencegahan Dan Kawalan Semasa Aktiviti Pendermaan Darah Bagi Mengekang Penularan Jangkitan Penyakit Berjangkit COVID-19-Annex 49’ untuk meningkatkan keselamatan orang ramai.

Dr Noor Hisham berkata garis panduan itu telah dikemas kini baru-baru ini selari dengan garis panduan antarabangsa yang antara SOP itu mengkehendaki penderma darah dan petugas kesihatan sihat sebelum memasuki ruang pendermaan darah.

Ini termasuklah melakukan saringan awal ke atas bakal penderma iaitu hanya yang tiada gejala, tidak mengalami jangkitan COVID-19 atau tidak ada kontak rapat dengan pesakit COVID-19 dalam masa 14 hari sahaja yang boleh meneruskan pendermaan darah, katanya.

“Kedatangan penderma ke lokasi pendermaan sentiasa dipantau dan dihadkan kepada bilangan tertentu sahaja pada satu-satu masa untuk memastikan penjarakan fizikal sewaktu proses pendermaan dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata pembersihan meja pendaftaran, peralatan pendermaan darah, katil penderma dan stress ball yang telah digunakan dilakukan secara berterusan oleh petugas kesihatan selepas setiap kali pendermaan.

Dr Noor Hisham berkata pendermaan darah berterusan diperlukan walaupun negara sedang menghadapi pandemik COVID-19 kerana ia untuk membantu pesakit yang memerlukan.

Ini termasuklah pesakit kecemasan yang mengalami pendarahan di luar jangka seperti kes kemalangan atau komplikasi semasa bersalin, bayi pramatang yang kekurangan darah, pesakit thalasemia, pesakit kanser, kegagalan buah pinggang serta mereka yang perlu menjalani pembedahan kritikal dan kompleks, katanya.

Tambahan lagi, katanya sejak kebelakangan ini terdapat ramai pesakit COVID-19 terutamanya yang mempunyai latar belakang penyakit kronik turut memerlukan transfusi darah.

Dr Noor Hisham berkata purata darah yang diperlukan setiap minggu untuk kegunaan pesakit di seluruh negara adalah sebanyak 14,000 beg darah termasuk di PDN yang memerlukan 3,500 hingga 4,000 beg darah setiap minggu bagi pembekalan kepada hospital di Lembah Klang.

KKM menyeru orang ramai untuk segera tampil menderma darah di PDN, PDN Donation Suite, Midvalley Mall, Suite Derma Darah Puspanita, Presint 10, Putrajaya dan tabung-tabung darah berhampiran serta kempen derma darah bergerak bagi memastikan bekalan darah mencukupi sepanjang masa di semua hospital serta menjadikan pendermaan darah sebagai satu budaya hidup sihat.

PDN Jalan Tun Razak beroperasi hari Isnin hingga Jumaat bermula 7.30 pagi sehingga 8 malam manakala pada Sabtu dan Ahad pula bermula 8 pagi sehingga 4 petang.

PDN Donation Suite, Midvalley Mall dan Suite Derma Darah Puspanita, Presint 10, Putrajaya pula beroperasi setiap hari bermula 10 pagi sehingga 6 petang.

— BERNAMA 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan