IPOH, 29 Julai — Peningkatan kes harian positif COVID-19 di Perak adalah disebabkan oleh ujian calitan yang dilakukan secara besar-besaran di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini.
Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin menasihatkan rakyat Perak agar tidak panik dengan kes harian negeri yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
“Jumlah yang semakin tinggi di Perak masa kini berikutan ujian calitan COVID-19 yang dilakukan secara besar-besaran di kawasan PKPD dan kita harap jumlah ini akan berkurangan. Sebagai contoh, kawasan PKPD di Selama sudah kali ke dua ujian calitan dijalankan buat penduduk kampung. Jadi semakin banyak kita lakukan ujian calitan di kawasan PKPD semakin bertambah jumlah positif.
“Kita harap rakyat tidak panik dan tidak risau namun mereka perlulah terus kekal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan betul,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program imunisasi COVID-19 di Poliklinik We Care Jelapang hari ini.
Menurutnya, keadaan dan jumlah pesakit kritikal COVID-19 di negeri ini juga masih terkawal dengan mencatatkan jumlah seramai 99 pesakit (COVID-19) ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negeri ini setakat Selasa lepas.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Mohd Akmal berkata sebanyak tiga pusat pemberian vaksin (PPV) Integrasi iaitu program kerjasama vaksinasi antara jabatan kerajaan dan pihak swasta bakal dibuka di negeri ini pada Ogos hadapan.
“Kita akan buka tiga PPV Integrasi pada Ogos ini iaitu PPV Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), PPV Tzu Chi di Taman Bercham Raya, Kinta dan PPV Kolej Telekom di Taiping. Selain itu, kita juga akan umumkan beberapa lagi pembukaan PPV yang baharu dari semasa ke semasa untuk merancakkan lagi program vaksinasi di Perak.
“Setakat ini, kira-kira 33,000 penerima vaksin disuntik dalam sehari di Perak dan terdapat 22 PPV Awam serta 89 Pusat Pemberian Vaksin Pengamal Perubatan (PPVGP) yang beroperasi di sini” jelasnya.
Dilapor sebanyak 596 kes positif baharu direkodkan di Perak hari ini manakala semalam sebanyak 406 kes baharu dicatatkan.
— BERNAMA