KAPIT, JULAI 29: Sebelum sempat sampai di hospital, seorang wanita telah melahirkan bayinya di dalam bot dalam perjalanan dari Klinik Kesihatan Belaga ke Hospital Kapit.
Dalam kejadian sekitar jam 8 pagi itu, wanita yang berusia 29 tahun itu telah mengalami kontraksi ketika menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan Puanan Bah, Belaga pada jam 8 pagi.
Memandangkan tiada jalan darat dari Belaga ke Kapit, wanita tersebut terpaksa dikejarkan ke Hospital Kapit menggunakan jalan sungai dengan menaiki bot ditemani doktor dan jururawat dari klinik kesihatan.
Menurut pegawai perubatan, Dr Dunstan Empawi yang menyambut bayi perempuan tersebut, walaupun ada latihan kebidanan, itulah pertama kali beliau menyambut bayi.
“Pengalaman getir menyambut bayi di dalam bot tidak mungkin saya lupakan kerana memang betuk-betul tidak menyangka terpaksa sambut bayi di dalam bot terumanya ketika melalui jeram yang agak bahaya dalam perjalanan ke hospital.
“Perasaan itu tidak dapat digambarkan dan saya masih terasa saat-saat genting itu sehingga kini.
“Apa-apa pun saya lega semuanya berjalan dengan lancar dan ibu serta bayi selamat,” katanya ketika dihubungi TVS.
Wanita yang berasal dari Rumah Asing, Belaga itu kemudian diiringi oleh Dr Dunstan bersama seorang jururawat menaiki bot ekspres ke Kapit.
“Namun keadaan mula cemas apabila si ibu mengadu kesakitan dan berada dalam keadaan mahu bersalin dan telah mula meneran di dalam bot,” tambahnya.
Beliau dengan bantuan jururawat telah berjaya menyambut kelahiran bayi perempuan seberat 2.05 kilogram pada jam 11.30 pagi tadi.
Setibanya di Kapit, ibu bersama bayinya selamat tiba di unit kecemasan Hospital Kapit untuk menerima rawatan lanjut.