KUALA LUMPUR, 29 Julai — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia bekerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi tempatan dalam usaha meningkatkan pemahaman mengenai rasuah dalam kalangan mahasiswa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata kerjasama antara SPRM dan institusi pengajian tinggi dalam memupuk sikap antirasuah dalam kalangan mahasiswa adalah penting bagi melahirkan tenaga kerja serta pemimpin yang berintegriti tinggi pada masa hadapan.
“SPRM bersedia untuk membantu dari segi melaksanakan program dan pembelajaran mengenai antirasuah ini agar dalam masa empat ke lima tahun nanti, kita akan dapat melahirkan pemimpin dan tenaga kerja yang berintegriti tinggi.
“SPRM juga akan memperkasakan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) berikutan terdapat ramai mahasiswa yang tidak mengetahui kewujudannya,” katanya semasa menjadi ahli panel program analisis dan resolusi antirasuah anjuran media tempatan semalam.
Ketua Pasukan Teras #RasuahBusters Datuk Hussamuddin Yaacub berkata kesedaran berkaitan rasuah sememangnya telah tertanam di dalam jiwa mahasiswa dengan pelbagai program kesedaran yang dijalankan.
“Bagaimanapun, ekosistem rasuah telah berakar umbi di dalam negara menyebabkan individu yang lemah mudah terjebak dengan rasuah bila mereka memasuki alam pekerjaan tidak kira di sektor swasta mahupun kerajaan atau berniaga,” katanya.
Beliau berkata oleh itu, program kesedaran wajar dilakukan secara berterusan termasuk di alam pekerjaan untuk menanamkan rasa benci terhadap rasuah.
— BERNAMA