Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sesi Dewan Rakyat ditangguh seketika susulan kenyataan Istana Negara

ByBernama

KUALA LUMPUR: Persidangan hari keempat Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini ditangguh seketika kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini susulan kenyataan Istana Negara berhubung Proklamasi Darurat.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mempengerusikan mesyuarat ketika itu membuat peraturan mengikut Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 12(2) bagi menangguhkan mesyuarat selama 15 minit sebelum kembali ke dalam dewan dan menempohkan sesi mesyuarat sehingga pukul 1 tengah hari.

“Saya membuat keputusan menempohkan mesyuarat ini sehingga pukul 1 tengah hari dan mesyuarat akan bersambung pada 2.30 petang,” katanya.

Terdahulu, sesi dewan kecoh apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) bangun menarik perhatian Ahli Dewan Rakyat mengenai titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dimuat naik di Facebook rasmi Istana Negara.

Dalam kenyatan Istana Negara itu, Seri Paduka menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Baginda.

Seri Paduka menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada Isnin telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen.

Al Sultan Abdullah turut menegaskan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Utama Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kenyataan dari Istana Negara itu dengan jelas menyebut bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melanggar prinsip Perlembagaan dan tidak menghormati institusi diraja.

Turut bangkit Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang mempersoalkan kenapa isu itu sebelum ini tidak dibenarkan untuk dijawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang membuat pengumuman mengenainya sedangkan ia satu isu yang sangat serius.

Dewan yang terus ‘panas’ dengan asakan daripada Ahli Parlimen yang mahu respons kepada kenyataan Istana Negara itu kemudian dicadang Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) kepada Mohd Rashid untuk ditangguhkan dahulu.

“Ini soal serius, selalunya perkara kontroversi seperti ini, biar dewan tangguh dahulu, itu keputusan terbaik,” cadangnya yang turut disokong beberapa Ahli Parlimen.

– BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan