Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Perkhidmatan tongkang kian tenat, kemungkinan pupus

SIBU, 29 JULAI: Perkhidmatan tongkang yang telah beroperasi lebih 20 tahun untuk penghantaran barang menggunakan laluan sungai Sibu-Kapit kini di ambang tenat.

Walaupun dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu untuk menghantar barangan keperluan, sambutan dari pembekal pula tidak berapa memberangsangkan.

Ketika ditemui TVS, penyelaras barang tongkang, Kong Chee Sing, berkata pembekal kini lebih gemar menggunakan lori untuk menghantar barang ke Song dan Kapit berbanding menggunakan tongkang yang mengambil masa perjalanan yang agak lama.

Tambahnya, sebelum wujudnya jalanraya penghubung Sibu dan Kapit, pembekal tiada pilihan lain selain tongkang yang sedia ada.

“Kedai-kedai hantar barang ke Song dan Kapit memang banyak menggunakan lori.

“Pakai lori ada banyak pilihan, siap boleh runding harga. Kami dulu tidak mempunyai banyak kapal, hanya beberapa buah saja kapal dan jika mahukan harga turun, memang kami tiada pilihan.

“Sebab tu dulu kalau turun barang sini mau berebut-rebut sebab takut dia tertinggal. Nanti barang pun tak laku lagi

Beliau turut mengakui penggunaan jalanraya adalah lebih senang dan boleh diakses bila bila masa. Berbanding pengangkutan air, mengambil masa 12-18 jam mengikut keadaan pasang air surut.

Hal itu menyebabkan operasi penghantaran barang ke Song dan Kapit terpaksa dikurangkan kepada satu kali seminggu.

Ini kerana barang yang diterima dari pembekal mengambil masa yang sangat lama untuk memenuhi ruang tongkang.

“Sekarang satu minggu satu trip saja. Lagi mau bawa Song sama Kapit satu kali. Dulu dua hari satu trip ke Kapit. Song ambil masa tiga hari untuk satu trip. Kalau bila ada hari perayaan macam Gawai setengah hari sudah penuh. Tiga jam sudah penuh, you bayangkan lah kapal besar ni tiga jam sudah penuh. Sekarang, sampai itu bawah sudah busuk pun belum penuh lagi, seminggu tak penuh.”

Ujar Chee Sing lagi, walaupun perkhidmatan tongkang berisiko ditamatkan, ia mungkin tidak menjadi kegusaran besar buat majikannya kerana mereka mempunyai banyak perusahaan lain.

Namun baginya sebagai pekerja yang bila-bila masa sahaja boleh diberhentikan, dia tidak mahu rezekinya terhenti di situ sahaja. Dikala musim pandemik ini, dia tiada pilihan lain demi sesuap nasi.

Menurut Chee Sing, hanya dua buah tongkang sahaja lagi yang beroperasi kini dan manakala yang lain sudah menghentikan perkhidmatannya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan