Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Pamer status halal di aplikasi pesanan makanan, meskipun dipercayai tidak mempunyai sijil pengesahan halal

ByYazid Ibrahim

SEREMBAN, 29 Julai — Sebuah restoran yang mempamerkan status sebagai premis halal dalam satu aplikasi pesanan makanan meskipun dipercayai tidak mempunyai sijil pengesahan halal diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sembilan (KPDNHEPNS), semalam.

Pengarah KPDNHEPNS Ain Arjuna Aziz Zaman berkata berkata pemeriksaan dilakukan sepasukan pegawai kementerian itu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) pada kira-kira 11 pagi semalam.

Beliau berkata siasatan mendapati pemiliknya merupakan seorang warga tempatan bukan Islam manakala dua pekerja yang bertugas di bahagian penyediaan makanan juga bukan beragama Islam.

“Premis tersebut didapati tiada sijil pengesahan halal yang sah dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tetapi membuat pengiklanan di aplikasi pesanan makanan dalam talian dengan status diletakkan sebagai premis halal,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata premis tersebut disiasat di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu menggunakan apa-apa petunjuk yang menunjukkan makanan tersebut boleh dimakan oleh orang Islam adalah merupakan satu kesalahan.

Ain Arjuna berkata jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu manakala RM5 juta bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan.

Justeru, beliau mengingatkan peniaga supaya tidak menggunakan sebarang petunjuk yang boleh mengelirukan dan menarik perhatian khususnya pelanggan Islam terutama melalui pengiklanan di aplikasi pesanan makanan dalam talian.

“Penggunaan indikasi halal dan logo halal adalah untuk pemegang sijil halal yang sah sahaja dan tidak boleh disalahgunakan,” katanya.

Terdahulu, tular hantaran di laman sosial Facebook oleh seorang penghantar makanan memaklumkan terdapat sebuah restoran di bandar itu yang dipercayai dikendalikan individu bukan Islam dengan status halalnya diragui dan rata-rata pelanggannya adalah berbangsa Melayu serta beragama Islam.

Pengarah JHEAINS Datuk Mohd Zaidi Ramli, ketika dihubungi Bernama, berkata setakat bulan ini, pihaknya menerima 247 permohonan mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dengan 176 daripadanya telah mendapat pengesahan.

Beliau berkata permohonan SPHM  bersifat sukarela dan terbuka untuk pihak yang berkelayakan termasuk pengeluar atau pengilang produk dan pengusaha premis makanan atau katerer serta dapur berpusat.

Katanya JHEAINS dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk KPDNHEPNS sentiasa memantau premis yang memiliki SPHM dan segala perkembangan berkaitan penyalahgunaan perbahasan halal seperti yang terdapat dalam Akta Perihal Dagangan (APD 2011).

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan