Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Kluster Persiaran Agas catat 13 kematian, berkemungkinan ada kes VOC

JOHOR BAHRU, 29 Julai — Kluster Persiaran Agas yang tercetus daripada sebuah kilang pembuatan semikonduktor di Tanjung Agas dekat Tangkak, kini mencatatkan 13 kematian dan berkemungkinan kluster berkenaan disyaki ada penglibatan varian membimbangkan (VOC).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan berkata hampir kesemua kematian yang dilaporkan daripada kluster yang diisytiharkan pada 9 Julai lepas itu mempunyai komorbiditi atau penyakit kronik dan lewat mendapatkan rawatan.

“Hampir kesemua daripada kematian tersebut dilaporkan mempunyai komorbiditi atau penyakit kronik dan lewat dapat rawatan dengan purata empat hari (julat satu hingga sembilan hari) dari bermula gejala dan tarikh mendapatkan rawatan.

“Disyaki kemungkinan terdapat penglibatan VOC di dalam kluster ini memandangkan bilangan kematian yang dilaporkan tinggi, walaupun setakat ini belum ada pengesahan melalui ujian makmal. Justeru, tindakan memanjangkan tempoh kuarantin kepada 21 hari diambil atas tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mesej tular melalui media sosial bahawa terdapat 15 kematian melibatkan kluster itu dan mendakwa kilang tersebut masih beroperasi sehingga hari ini.

Kes pertama kluster itu melibatkan seorang pekerja kilang berkenaan yang bergejala demam pada 24 Jun namun masih bekerja hingga 28 Jun, sebelum disahkan positif COVID-19 pada 2 Julai lepas.

Setakat semalam, sebanyak 462 kes positif COVID-19 dilaporkan dengan 1,495 pekerja diarahkan menjalani kuarantin (HSO) selama 21 hari kerana disyaki merupakan kontak rapat.

“Daripada keseluruhan jumlah kes, 207 melibatkan pekerja kilang iaitu 155 warga tempatan dan 52 warga asing, manakala 255 pula kes dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan pekerja kilang itu,” katanya.

Menurutnya, punca utama penularan secara meluas itu adalah disebabkan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pekerja mahupun komuniti berikutan peratusan tinggi kes-kes melibatkan komuniti.

Susulan kes pertama itu, Vidyananthan berkata kilang berkenaan telah ditutup bagi tujuan sanitasi pada 3 Julai dan ditutup sepenuhnya mulai 14 hingga 20 Julai selepas pengesanan kontak dan saringan melibatkan pekerja dilakukan.

Bagaimanapun kilang berkenaan beroperasi semula pada 21 Julai secara berperingkat mengikut SOP yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selepas penilaian risiko dilakukan hasil beberapa siri pertemuan antara wakil Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan pihak kilang bagi mewujudkan rangkaian kesinambungan perniagaan mereka semasa pandemik ini.

“Pemantauan harian juga masih dijalankan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah ke atas operasi kilang tersebut sehingga hari ini bagi memastikan pemantauan SOP dikekalkan. Difahamkan juga pihak MITI sedang melihat kepada pengoperasian kilang tersebut dari segi pelaksanaan selamat di tempat kerja,” katanya.

Vidyananthan berkata program vaksinasi pekerja juga disegerakan bagi mengurangkan risiko penularan dengan hingga semalam seramai 2,643 pekerja telah menerima dos pertama menerusi Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang mensasarkan 100 peratus vaksinasi ke atas semua pekerja. 

“Selain itu pihak pejabat kesihatan juga telah berusaha memastikan ahli keluarga mereka juga diberikan vaksinasi secepat mungkin,” katanya dengan menambah kilang itu mempunyai seramai 4,057 pekerja iaitu 3,806 pekerja tempatan dan 251 pekerja asing. 

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan