Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Pengalaman di Olimpik Tokyo amat bermakna – Syaqiera

ByYazid Ibrahim

TOKYO, 28 Julai — Biarpun terkandas seawal pusingan pertama, pemanah muda wanita negara Syaqiera Mashayikh yang membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik di Tokyo tetap berbangga dengan pencapainnya.

Malah, peluang beraksi di Olimpik Tokyo, yang juga penampilan ketiganya di pentas antarabangsa selepas kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik 2020 dan Peringkat Ketiga Piala Dunia 2021 di Paris bulan lalu, memberi pengalaman amat bermakna buat atlet berusia 20 tahun itu.

Atlet kelahiran Segamat, Johor itu turut memulakan saingan acara recurve individu wanita di Tokyo dengan bergaya, selepas mencipta rekod panahan peribadi terbaik dengan pungutan 630 mata pada pusingan penentuan ranking pada Jumaat lepas.

Namun, Syaqiera yang menghuni ranking ke-355 dunia menyedari perjalanannya mengejar impian bergelar jaguh dunia masih jauh selepas tewas 4-6 kepada pemanah di ranking keempat dunia Elena Osipova dari Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC) semalam.

“Sudah tentu saya rasa berbangga dengan diri saya dan gembira dapat belajar sesuatu mengenai keyakinan diri. Saya harap dapat tingkatkan tahap ketahanan mental dan kemahiran, untuk membuat panahan lebih baik dalam kejohanan besar seterusnya,” katanya ketika dihubungi

“Bagi saya pengalaman di Tokyo amat bermakna dan sangat berharga, apatah lagi ia adalah Olimpik pertama saya,” tambah bekas pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di Bandar Penawar dan Sekolah Sukan Pahang di Gambang itu.

Mengulas mengenai penyingkirannya dari temasya berkenaan Syaqiera berkata, jika beliau mampu mengawal debaran serta tekanan, pastinya keputusan berdepan Osipova pada aksi di Lapangan Memanah Yumenoshima Park di Tokyo itu, boleh jadi sebaliknya.

Beliau juga menjelaskan, keadaan tangannya yang dilihat menggeletar ketika melakukan panahan pada aksi itu, disebabkan angin kuat yang menyukarkan beliau untuk menetapkan busur bagi melakukan panahan secara konsisten.

Syaqiera berjaya merekodkan 126 mata dalam keseluruhan 15 panahan pada aksi tersebut, kurang tujuh mata daripada Osipova, yang memenangi pingat emas Kejohanan Eropah dalam acara berpasukan bulan lepas.

“Perasaan berdebar saya itu memberi kelebihan kepada lawan saya, walaupun dia juga kelihatan tertekan. Tetapi sekurang-kurangnya dengan pengalaman luas dia dapat mengawal keadaan sekali gus memudahkan melakukan panahan,” katanya.

Sebagai rekod, Syaqiera merupakan pemanah wanita ketiga negara layak ke Olimpik selepas Mon Redee Sut Txi (Athens 2004) dan Nurul Syafiqah Hashim (London 2012).

Selepas ini, Syaqiera akan membuat persediaan bagi membolehkannya tampil lebih bersedia menjelang temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dan Sukan SEA 2021 di Vietnam yang dijadual berlangsung tahun hadapan.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan