SINGAPURA, 26 JulaiĀ — Pada masa ini perkara paling utama adalah negara manakah yang paling banyak membantu untuk menjadikan dunia kembali normal di tengah-tengah peningkatan pandemik COVID-19.
Sama ada negara itukuasa lembut (soft power) atau kuasa keras (hard power), ini harus menjadi fokus dasar luar negara yang mempunyai sumber dan kemampuan untuk cuba membantu.
Demikian menurut Rakan Kongsi, Sanctuary Counsels, Jonathan McClory, di Persidangan Diplomasi Awam Asia 2021 Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF) di sini hari ini.
McClory, perunding strategi bebas yang mengkhusus dalam soft power, diplomasi awam, hubungan budaya, penjenamaan tempat dan industri kreatif berkongsi topik “Public Diplomacy in a Post-COVID-19 World” bersama tiga penceramah lain.
Sesi dikendalikan Pengarah Pusat Diplomasi Awam, Universiti Southern California, Dr Jay Wang.
McClory ditanya sama ada sesebuah negara yang tidak memiliki kekuatan ketenteraan boleh menunjukkan soft power dan diplomasi awam yang baik untuk menyatukan masyarakat, misalnya dalam menyelesaikan masalah tertentu seperti pelancaran vaksin global yang lebih baik.
“Tidak semestinya ia hanya boleh dilakukan negara yang memiliki infrastruktur ketenteraan terbaik, tetapi negara yang boleh membantu membangun keupayaan di bidang kesihatan awam atau dalam pelaksanaan pembiayaan pelancaran vaksin di seluruh dunia.
“Dan, saya fikir itu akan menjadi perkara paling penting untuk soft power,” katanya.
McClory menyatakan Jepun adalah antara negara yang dapat melakukannya tanpa melibatkan kuasa ketenteraan.
Menurut perunding itu ia terbukti dengan semua tindakan yang dilakukan negara ini di Asia Tenggara seperti meningkatkan kapasiti di pelbagai bidang dan pembangunan dan “sebahagian daripadanya adalah kesihatan awam.”
Katanya, Kesatuan Eropah juga telah melakukannya dengan cukup baik dalam usaha mereka membekalkan vaksin untuk Vaccines Global Access (COVAX).
— BERNAMA