PENERJUN elit negara, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee sekadar meraih tempat terakhir dalam final acara 10m platform seirama wanita di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan markah keseluruhan 277.98 mata.
Pandelela-Mun Yee telah berhadapan dengan tujuh pasangan penerjun dari Kanada, Jerman, Great Britain, Mexico, Amerika Syarikat, tuan rumah Jepun dan China yang diwakili Chen Yuxi dan Zhang Jiaqi.
Pingat emas dimenangi Chen Yuxi-Zhang Jiaqi dari China dengan 363.78 markah, manakala perak menjadi milik pasangan Amerika Syarikat, Jessica Parratto-Delaney Schnell (310.80 mata).
Pingat gangsa pula berjaya diraih penerjun Mexico, Gabriela Agundez Garcia-Alejandra Orozco Loza dengan 299.70 markah keseluruhan.
Pandelela sebelum ini pernah memenangi pingat perak acara 10m platform individu pada London 2012 dan pingat gangsa 10m platfrom seirama sewaktu edisi Rio 2016.
Sementara itu, Tokyo 2020 merupakan penampilan terakhir Mun Yee di pentas Olimpik selepas terdahulu membuat kemunculan pada edisi Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012.