KOTA BHARU, 27 Julai — Sumbangan bakul makanan daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa menjadi ‘penyelamat’ buat sebuah keluarga pesakit buah pinggang tahap akhir di Kampung Pengkalan Nangka, di sini, yang terputus bekalan makanan hampir empat hari.
Norhamizah Mohd Yusof, 29, berkata dia terdesak mengangkat ‘bendera putih’ sejak Jumaat lepas selepas buntu untuk mendapatkan bantuan makanan demi kelangsungan hidup bersama suami dan empat anak mereka.
Katanya, sepanjang tempoh empat hari lalu mereka sekeluarga terputus bekalan makanan terutamanya beras dan hanya bergantung kepada biskut serta roti sahaja.
“Bagaimanapun, saya bersyukur selepas beberapa hari mengangkat bendera putih wakil Ahli Parlimen Pengkalan Chepa termasuk penghulu dan beberapa individu lain tampil menghulurkan bantuan makanan dan wang tunai.
“Alhamdulillah dengan adanya bantuan bakul makanan ini dapat membantu kami sekeluarga mengalas perut dan meneruskan kehidupan tanpa perlu berlapar lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, hari ini.
Bercerita lanjut, Norhamizah berkata mereka hilang punca pendapatan selepas suami Mohd Romzi Ab Rahman, 38, yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang makanan terpaksa berhenti kerja kerana menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak 2016.
“Sebelum ini saya dan suami bekerja di kilang makanan di Pengkalan Chepa, tetapi selepas suami jatuh sakit saya mengambil keputusan berhenti bekerja untuk menguruskannya dan anak-anak.
“Bagi menampung perbelanjaan saya mengambil tempahan membuat kuih termasuk roti jala, laksa Penang dan sebagainya daripada penduduk sekitar. Jika ada tempahan dapat dalam sekitar RM40, namun sejak pandemik COVID-19 tempahan sangat berkurangan,” kata ibu kepada empat anak berusia antara lapan hingga setahun itu.
Lebih menyedihkan Norhamizah, apabila melihat suami yang terpaksa berulang alik sendirian dengan motosikal dari rumah ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk melakukan dialisis sebanyak tiga kali seminggu.
“Namun saya bersyukur kerana kos rawatan dialisis suami ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selain suami turut menerima pencen ilat sebanyak RM500 sebulan,” katanya yang turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500.
Terdahulu tular di media sosial perkongsian dimuat naik oleh Norhamizah yang mengangkat ‘bendera putih’ diperkarangan rumahnya sehingga mendapat perkongsian mencecah 10,000 di Facebook.
Rata-rata warganet menzahirkan rasa sedih dan bersimpati terhadap keluarga itu yang terputus bekalan makanan selain keadaan suaminya yang menghidap penyakit buah pinggang kronik.
Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Muhammad Abdul Munib Assyakirin Zakaria berkata nasib keluarga berkenaan mendapat perhatian Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan akan diberi bantuan dari semasa ke semasa.
— BERNAMA