KUALA LUMPUR, 25 Julai — Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul Abdulaziz Al-Saud telah menitahkan “King Salman Centre for Relief and Humanitarian Action” supaya segera menyalurkan sumbangan peralatan perubatan dan sebarang keperluan untuk membantu Malaysia menangani cabaran COVID-19.
Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara itu baharu sahaja dimaklumkan kepadanya ketika berhubung dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud.
Hishammuddin menyifatkan ia satu penghormatan besar dan benar-benar melambangkan ketulusan Kerajaan Arab Saudi dalam menjalinkan persahabatan dengan Malaysia.
“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, menjunjung kasih buat Baginda Raja Salman, Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud dan dan Kerajaan Arab Saudi atas kebaikan serta keprihatinan yang sangat mendalam ini,” katanya dalam hantaran Facebooknya, hari ini.
Hishammuddin berkata beliau akan terus bekerjasama rapat dengan Putera Mahkota Arab Saudi bagi memperincikan bentuk keperluan terkini yang Malaysia perlukan sekali gus memastikan titah Penjaga Dua Masjid Suci itu berjalan lancar.
Agensi Berita Saudi melaporkan Raja Salman telah menitahkan King Salman Humanitarian Aid and Relief Center (KSrelief) supaya segera menyalurkan Malaysia bantuan bagi menangani kesan pandemik COVID-19.
Bantuan itu termasuk satu juta dos vaksin COVID-19, peralatan perubatan, penjagaan dan rawatan, bekalan pencegahan dan lain-lain keperluan perubatan.
— BERNAMA