Apa sahaja pandangan luar mengenai struktur masyarakat mandani bumi kenyalang sememangnya seperti sebuah rentak lagu balada.
Oleh KULLEH GRASI
“Allah Ros kalas,
Allah Ros kalas, ros kalas kita,
Dipetik kamek, dipetik oleh kamek”
‘Tidak terbalas,
tidak terbalas budi saudara,
berapa jaoh, berapa jaoh,
datang ke sini.”
“Pikirlah panjang,
pikirlah panjang
dudi nesal,
sik beguna,”
(Zapin Ros kalas)
Apabila catatan dan lukisan kepulauan Borneo melambai-lambai, seringkali ia disalah ertikan. Bukankah lambaian itu juga boleh merujuk kepada erti “Selamat Datang” ataupun lambaian mari berkenalan? Tidak dapat kita selaraskan erti semboyan dari Borneo hanya merujuk kepada bantuan peradaban yang akhirnya membentuk kelas dan hierarki kemanusian yang telah lama kita izinkan penjarahan ketuanan barat yang telah dilaungkan dari zaman berzaman.
“Lan datang, lan berambeh ke Sarawak”. Sinun jauh kedengaran nopeng Haji Draman, bertandak berjoget mengikut alun berturus air. Airnya sungai Sarawak tak lekang putus mengalir membawa cerita orang asal yang semakin tahun melupa warna resam setelah bergelut dengan arus pemodenan?
Apalah ralat di hati sekiranya terdengar dendang Iban Samarahan hampir mirip bergendang mukun melayu Pulo Beruit. Namapun tali air ataupun kendik air,memegang falsafah sungai mengalir ke setiap muara dan nangga pelosok menua. Tenunan songket Sarawak sendiri bercerita melalui corak benang emas dan merah berturus air, cerminan erat asimilasi budaya dan tautan hormat sesama suku kaum.
Sarawak Music Fashion Galore pada tahun 2019 di antara inisiatif negeri mengangkat martabat Songket Sarawak, perantara medium mengekalkan keaslian dan keunikan fabrik tersebut. Namun spektrum kepelbagaian suku etnik di sini tidak dapat dibendung secara terus, evolusi seni kreatif untuk mengintegrasikan ornamen setempat di dalam karya tenunan baru songket Sarawak, di mana corak Bungai Terong juga muncul di sebalik penghasilan karya baru untuk mencabar sifat kotemperari seni. Lihat sahaja hasil pereka fesyen bumi kenyalang, Anna Sue. Jalinan corak berturus air dan panggilan Bungai Terong yang akan membawa jauh proses “Bejalai” leluhur iban.
Menelusuri muara-muara sungai di Sarawak di mana suku kaum Iban ataupun Sea Dayak menghuni dan masih gagah berdiri rumah panjang peninggalan lama walaupun semenjak kedatangan anutan Samawi, sedikit sebanyak makin hilang seri kepercayaan asal, galang gantinya mungkin pendidikan formal dan peradaban campur tangan ketuanan barat. Katanya tidak relevan lagi anutan asal. Dan, adat bejalai cuma menjadi siulan romantis di iklan-iklan papan tinggi. Segala-galanya dijual penuh eksotik, sehingga pisang tanduk pun kelihatan sangat rare di kalangan anak-anak negeri di Tik Tok.
Bejalai atau merantau adalah perjalanan mencari pengalaman. Di daratan ataupun di sungai, di awangan ataupun di lautan. Meskipun pada masa sekarang sudah lama sampai frekuensi radio di rumah-rumah peisisir. Sesekali kedengaran lagu remix bekikis bulu betis dari siaran radio tempatan, mengubat getir pilu apai tuai rumah di sungai Pelagus. Hatinya bercampur gaur,mahu senyum tetapi was-was kerana siaran radio sudah mampir ,tetapi kaget kerana cucunya Serit terkial-kial di kebun lada mencari liputan internet untuk menghadiri PDPR. Alah bisa tegal biasa? Serit balik lagi ke ruai rumah panjang, berkeluh kesah. Akinya bilang, “sabar,ucu, enda lama apus taun,” dan bulan pun berganti. Siang seterusnya malam. Di peranti peninggalan mendiang ibu serit, sesekali dahinya berkerut, berdebar-debar mengulang tayang video Veveonah Mosibin, srikandi muda sehingga berhenti bunyi mesin jana kuasa elektrik. Poot… poot… poot poot…
Apa sahaja pandangan luar mengenai struktur masyarakat madani bumi kenyalang sememangnya seperti sebuah rentak lagu balada. Sendu dan merawan taktala visual perwakilan negeri walaupun secara kreatif seringkali diromantiskan. Sudah berapa kali gambaran sejarah ataupun narratif orang asal tidak diambil hentang. Maka berdebat dan berkicaulah cendawan dan cendiakawan tentang kegagalan takrif filem The Sleeping Dictionary (2003) dan juga Edge of The World (2021). Berbelah bagi rasanya untuk menikmati lakonan Jessica Alba yang menarikan tarian ngajat indu persis burung undan. Mungkin itulah renjatan yang mengocang jiwa anak-anak negeri yang berjiwa tinggi. Nun di Limbang, anak Kadayan yang bernama Raziman Sarbini pemegang biasiswa penuh negeri yang telah berjaya menamatkan Pengajian Tari di peringkat sarjana di Tish School of Arts, University Of New York adalah di antara anak Sarawak yang mempelopori dunia tari professional yang menyertai Akram Dance Company di London, sebuah kesatuan tari yang berpengaruh di dunia. Mungkin ada perubahan yang lebih rancak di kemudian hari, untuk menyelesaikan false representation sekiranya diberi izin. Namun, apa pun pertelagahan opini, tidak akan ada di antara kita mampu mengubah narratif filem antarabangsa yang bijak mengeksploitasikan keunikan orang kita sebagai inti sekiranya penulis skrip dan sutradara filem itu bukan dari perwakilan kita sendiri. Carilah ruang dan peluang mungkin ada.
Seringkali kita menyapu bersih persamaan pecahan suku kaum orang ulu. Sejujurnya mereka berbeza dari dialek bahasa dan cara hidup. Yakni kerana itu mereka dibahagikan sebagai sub-etnik orang ulu kerana mereka memang berbeza, baik Kayan, Kenyah, Kelabit, Sebob, Kiput, Berawan, Lunbawang, Lahanan dan sebagainya. Kita meraikan perbezaan itu kerana itulah keunikan dan pegangan yang membentuk kehidupan mereka.
Namun realiti kerencahan hidup mereka, hanya mereka sahaja tahu. Di sebalik Dataran Tinggi Kelabit, Daearah Baram, Pakcik Luhat Ngau tersenyum seorang sambil menolak bagasi buah nanas Bario untuk diekspot melalui Burung Besi Twin Otter. Mana tidak tersenyum, jika 15 tahun dulu mungkin hanya kedengaran petikan sape Matthew Ngau Jau, Kenyah Ngorek dari Long Semiyang berkumandang di corong bangunan terminal kapal terbang di sekitar miri. Seorang lagenda Sape yang telah mendapat pengitirafan “Malaysia’s Living National Heritage.” Selang tahun, sudah bercambah pelantun alunan sape sehingga turut dianuti secara professional oleh suku kaum lain di Sarawak sehingga wujud nama-nama seperti Jerry Kamit, Munirih Jebeni, Leslie Eli, RaWa dan baru-baru ini, Sarawak telah kehilangan seorang permata seni sape, Allahyarham Saufi Aiman. Semoga baladanya terus didengari,berehatlah dikau dalam kedamaian.
Kepelbagaian corak dan warna yang mewakili bumi kenyalang sentiasa menjadi buah mulut media. Sekaligus ini juga telah menyapu rata pernyataan media mahupun warga ibu pertiwi si darul hana sendiri. Corak Tree of life atau Kayo Arip dari suku kaum orang ulu mempunyai signifikasi yang amat berbeza dengan corak tenunan Pua Kumbu Iban. Jangan sekali di samarata kepenggunaannya biarpun hemahnya sekadar untuk penyataan umum yang mewakili negeri Sarawak. Betul, secara umumnya ianya boleh menjadi simbol kebanggaan negeri tetapi corak dan interpretasinya adalah jauh berbeza. Ianya seperti kita menyamakan Mek Mulong Kedah dengan Ulek Mayang Terengganu. Kedua-duanya adalah khazanah tradisi Malaysia tetapi mewakili dua budaya yang berbeza.
Kelesuan dari pandemik dunia akibat wabak Covid-19 ternyata banyak mengubah lanskap pelbagai pelosok. Kehidupan harus dihadapi walaupun terdapat pelbagai dugaan yang menjadikan manusia harus bersedia dan vigilant setiap waktu. Sememangnya harus diraikan baru-baru ini, The Pocket Rocketman Malaysia, atlet berbasikal negara, Azizulhasni telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang membawa gelaran Datuk. Sememangnya atlit Olimpik negara itu layak diraikan sedemikian di atas sumbangan beliau. Namun, itu juga tidak mematahkan semangat Ratu Terjun negara, Pandelala Rinong,anak Bidayuh yang pernah memenangi 2 pingat olimpik dan 5 pingat kejohanan dunia untuk berswafoto manis semasa di pesawat Japan Airlines baru-baru ini lewat media sosial untuk menyertai Olimpik Jepun 2021. Orangnya masih optimis dan semangat “agi idup agi ngelaban” kelihatan bersinar sekalipun tiada julangan dewata untuk beliau. Apa sahaja yang akan merubah momentum Pandelela kalau bukan kecintaan mendalamnya dengan sukan terjun selain sokongan keluarga tercinta, yang pasti dia bukanlah akan menjadi anak Sarawak terakhir yang memegang pingat-pingat penting di arena sukan antarabangsa,pasti ramai anak negeri lain yang menyusul di kemudian hari. Kejayaannya akan bergema lama seperti nyanyian Empesut, spesis lumba-lumba air tawar yang boleh ditemui di sekitar perairan Pulau Satang yang terus menerokai kedalaman misteri kejayaan kehidupan.
Perjuangan dan kejayaan tidaklah hanya diukur kerana imbalan usaha. Mana mungkin kita lupa perjuangan Bujang berani yang begadai nyawa untuk menuntut kebebasan Sarawak. Tahun lalu,Sarawak telah kehilangan Bujang Berani Raweng yang menghembuskan nafasnya pada usia 104 tahun. Awang Raweng adalah iban tracker terakhir yang masih hidup yang berjuang menentang komunis pada tahun 1951 sebelum pembentukan Malaysia. Kronologi mendiang Awang Raweng harus diperingati di dalam peta sejarah,untuk tatapan generasi seterusnya. Semangat perjuangan ini adalah iktibar untuk pembentukkan minda patriotisme generasi seterusnya,amnya juga untuk masyarakat negara kita.
Limpahan zat dan kurniaan negeri bertuah ini bukan hanya dinikmati oleh anak Sarawak sahaja bahkan sifat majmuk yang menyinar di negeri ini telah lama membentuk perpaduan erat. Saban hari ada sahaja refleksi dan komentar guru kesayangan Sarawak Cikgu Emmet mengenai pelbagai isu di sekitar Sarawak. Guru berpengalaman ini yang berasal dari perak sesungguhnya bukti penyatuan semenanjung tanah melayu dan Sarawak. Dialek slang dan adaptasi kaum di sini sudah terjalin ranum malah melalui kekeluargaan. Orang bilang, tak kenal maka tak cinta. Sehinggakan peneraju Media Sarawak-TVS, Suhami Sulaiman, seorang pemain media yang disegani turut merasa gelombang kemajmukkan bumi kenyalang ini, di mana panggilan untuk memberi khidmat dan pengalamannya untuk barisan media TV Sarawak sudah mula dirasai. Semoga pertaruhan kearah perkembangan journal,media dan akhbar mendapat manfaat bersama.
Sejernih bunga ros kalas yang mengangkat haruman kebebasan di waktu pagi, saudara Cina yang masih utuh bersalam sesama saudara dayaknya di kedai Joo Seng Café, masih kedengaran jeritan kecil suara Embok Sharifah meminta lebih cili geronong untuk menyantapi hidangan linut melanau daro. Gemuruh tepukan sedewan mendengar manifestasi pendidikan seorang remaja Penan dari long balau menjelaskan halatuju keberadaa pendidikan setara semasa majlis penganugerahan dekan, dan sesekali kedengaran lagu “iboh kitak nangis” nyanyian Zee Avi, anak Sarawak yang pernah berada di papan billboard Amerika satu ketika dahulu,berkumandang selepas majlis restu ilmu. Merayakan generasi seterusnya akan terus membawa Sarawak terus mansang, dan berkumandang.
Di manapun panji-panji pertiwi yang kita kibarkan, kebebasan akal kita dari penjarahan dan penjajahan kita tinggalkan, untuk menjadi Sarawak yang harum dan mewangi.
Selamat Hari Sarawak, ibu pertiwiku!
Kulleh Grasi, dilahirkan di Sarawak, merupakan seorang pengkarya rentas disiplin yang berbakat.
Disclaimer: The views and opinions expressed in this article are those of the author(s) and do not necessarily reflect the position of TVS.