Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
KUALA LUMPUR, 26 Julai -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) berbual bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Menteri Pertahanan ketika menghadiri Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-14 di Parlimen hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Darurat Tamat : Bimbang Covid-19 meningkat jika PRN Sarawak diadakan

KUALA LUMPUR, 26 Julai — Persoalan berhubung keperluan Sarawak mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh 60 hari sekiranya Proklamasi Darurat ditamatkan 1 Ogos nanti adalah antara perkara dibangkitkan Ahli Parlimen negeri itu pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini. 

Menyuarakan kebimbangan penularan kes COVID-19 akan berlaku apabila pilihan raya diadakan, Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) berkata walaupun kadar vaksinasi di Bumi Kenyalang ketika ini berada pada tahap yang baik dan membolehkannya beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), ia sama sekali tidak memberi jaminan negeri itu akan terlepas daripada berhadapan dengan peningkatan penularan COVID-19.

Beliau berkata kekhuatiran ini timbul lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian baharu seperti Delta yang dikesan di Miri dan Sibuti, selain mengambil pengajaran daripada PRN Sabah yang menyaksikan kes COVID-19 melonjak naik selepas pilihan raya negeri itu diadakan. 

“Kita tidak ingin mengadakan PRN dalam masa terdekat, walaupun kita harus mengadakan PRN di Sarawak, kerana kita ingin mengutamakan rakyat Sarawak. Ketua Menteri telah menyatakan bahawa proses vaksinasi ini untuk melindungi nyawa rakyat Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika perbahasan selepas sesi penerangan daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung PPN pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini. 

Ketika menjawab celahan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang bertanya jika beliau setuju untuk darurat secara lokaliti diadakan di Sarawak bagi mengelakkan PRN diadakan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan, Lukanisman berkata beliau bersetuju sekiranya ia merupakan langkah bagi menyelamatkan nyawa rakyat Sarawak.

“Kita tidak sewenang-wenangnya membuka negeri kita untuk mengadakan PRN, sekiranya PRN dijalankan saya mohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai prosedur operasi standard teliti berkenaan mengadakan PRN ini.

“Sekiranya darurat secara lokaliti ataupun berpilih ini perlu dilaksanakan, saya bersetuju sekiranya darurat ini untuk menyelamatkan dan saya rasa kita belum bersedia lagi untuk mengadakan PRN dalam tempoh ini,” katanya. 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini telah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Ini menjadikan PRN Sarawak yang dijadual diadakan pada tahun ini ditangguhkan meskipun 6 Jun lepas merupakan hari terakhir penggal Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu cukup tempoh lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya diadakan.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan