KETERUJAAN sepasang suami isteri dikurniakan anak yang pintar, petah berbicara, periang dan aktif tiba-tiba lenyap apabila anak mereka, Jonathan Siaw Khian Fatt hilang keupayaan bertutur sebaik mencecah usia lima tahun.
Lebih parah lagi apabila Roselind Wee dan suaminya, Charles Siaw terpaksa pula menghadapi tohmahan masyarakat ketika itu bahawa anak mereka sudah dirasuk atau menjadi gila.
Dirundung kesedihan dan kebuntuan, mereka terus berusaha mencari jawapan dengan mendapatkan khidmat dari pelbagai pakar kesihatan.
Setelah merantau dan berjalan jauh untuk mendapat jawapan, ibu itu akhirnya dimaklumkan bahawa anaknya disahkan mempunyai autisme.
Begitulah peristiwa sekitar tahun 1990 yang dilalui Roselind Wee dan suaminya Charles Siaw dimana mereka mula akur menerima hakikat bahawa anak mereka Jonathan Siaw Khian Fatt yang kini berusia 31 tahun adalah Autistik.
Bagaimana mula mengesan Jonathan adalah Autisme?
“Pada mulanya, anak saya, Jonathan Siaw Khian Fatt, adalah seorang budak yang sangat pintar dan boleh bertutur dalam dwibahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Mandarin. Tetapi malangnya, pada usia lima tahun, beliau mula beransur-ansur hilang keupayaan bertutur sehingga mencapai tahap tidak boleh bercakap langsung,” kata Roselind Wee kepada TVS.
“Pada masa itu, saya dan suami menjadi buntu dan mula merantau ke serata tempat untuk mencari jawapan. Tidak lupa juga ada yang mengatakan Jonathan mungkin sudah dirasuk hantu atau menjadi gila”.
“Tetapi, akhirnya saya dan suami memutuskan untuk membawanya ke Kuala Lumpur untuk didiagnosis. Ketika itu dia disahkan Autisme,” tambahnya.
Sementara itu, suaminya Charles Siaw menjelaskan, peristiwa sekitar tahun 90-an itu merupakan detik gelap dan merunsingkan baginya dimana mereka telah merantau dari satu tempat ke satu tempat untuk mendapatkan jawapan mengenai keadaan anak mereka.
Mereka sekali lagi diuji lagi dimana setiap tadika dan taska pada waktu itu tidak mahu menerima Jonathan kerana tingkah lakunya yang hiperaktif dan sukar dikawal.
Roselind dan suaminya mengambil inisiatif mengumpul dana mereka sendiri untuk megupah seorang guru peribadi untuk Jonathan iaitu Cikgu Mina Sayop dari Tadika Sinaran.
Walaupun Jonatahan diusir daripada kebanyakan tempat pada waktu itu, namun Cikgu Mina Sayop antara individu yang setia untuk membimbing Jonathan.
Melihat kepada kemampuan Cikgu Mina ketika itu, pasangan ini Bersama-sama dengan keluarga lain yang senasib dengan mereka mengupahnya menjadi guru khas Autistik ketika itu.
Mina Sayop telah dihantar ke National Autistic Society of Malaysia (NASOM) untuk meneirma latihan khas untuk mengajar anak-anak Autisme.
Tidak lama selepas itu, hasil daripada dana yang diperoleh daripada ahli keluarga lain, maka tertubuhlah Kuching Autistic Association (KAA) dan Cikgu Mina merupakan guru pertama di pusat berkenaan.
Apakah cabaran yang dihadapi dalam menjaga Jonathan?
Ditanya soal cabaran yang dihadapi oleh mereka, Roselind menjelaskan, selain tidak diterima di taska dan tadika, mereka terpaksa menyesuaikan diri membesarkan anak istimewa seperti Jonathan seperti cuba memahami bahasanya dan apa yang cuba disampaikannya dek kerana Jonathan tidak boleh bercakap dengan seperti kebanyakkan kanak-lanak .
Charles pula menjelaskan dia dan isterinya harus menerima hakikat tersebut meskipun mereka sudah membuat pelbagai perancangan untuk masa depan Jonathan.
Cikgu Mina Sayop iaitu guru yang bertanggungjawab membimbing Jonathan sehingga ke hari ini memaklumkan pelbagai cabaran dilaluinya sepanjang melayan kerenah Jonathan.
“Pelbagai cabaran yang dihadapi ketika menjaga Jonathan terutamanya dari segi sikapnya. Hal ini demikian kerana Jonathan mempunyai masalah untuk memberitahu apa yang dimahukannya. Jadi saya harus cuba memahami apa yang cuba disampaikannya,” jelasnya.
Kini, dengan pendekatan yang dikenali sebagai Applied Behaviour Analysis (ABA), Jonathan sedikit sebanyak beransur pulih terutama dari segi pertuturan.
Pesanan untuk ibu bapa di luar sana yang senasib dengan mereka:
“Jangan pernah menyerah. Anak adalah Amanah daripada Tuhan. Tidak kira apa pun keadaan mereka, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menerima dan menjaga mereka,” kata Roselind dengan nada yang hiba.
“Ibu bapa harus melalui takdir ini dengan hati yang terbuka. Sekiranya kita menerima takdir ini dengan penuh keredhaan, maka kita tidak akan pernah mempersoalkan kenapa ini berlaku kepada kita.”
Seperti pelangi selepas hujan, mungkinkah ada sinar dalam kegelapan?
Seperti kebanyakkan kisah, setelah hujan melanda, akan adanya sinar pelangi yang timbul dimana apabila ditakdirkan memiliki anak Autisme, pasangan ini kini berjaya menubuhkan Kuching Autistic Association (KAA) yang dilengkapi dengan tiga buah bangunan.
Selain itu, hikmah disebalik yang terjadi , kini usaha tersebut turut membantu ibu bapa lain yang senasib dengan mereka dimana KAA kini memiliki seramai 109 orang pelajar yang terdiri daripada anak-anak Autisme telah menuntut disana.
Pasangan ini berharap agar ibu bapa di luar sana yang senasib dengan mereka tidak putus harapan dan sentiasa memberikan sokongan kepada anak mereka.
Roselind Wee turut berharap suatu hari nanti akan diwujudkan sebuah rumah jagaan untuk mereka yang istimewa seperti Jonathan.
Hal ini demikian kerana seseorang yang Autistik pada tahap yang tinggi seperti Jonathan memerlukan sokongan, perhatian dan bimbingan seumur hidup.
Semasa ditemubual Roselind dan suaminya sempat menceritakan satu kisah yang berlaku di usia Jonathan dalam lingkungan 10 tahun dimana Jonathan ketika itu hampir lemas di Sungai Sarawak.
Pada ketika itu, mereka berjalan di sebuah pasar raya di ibu kota dimana tanpa disedari Jonathan tiba-tiba hilang.
Setelah mereka mencarinya di merata-rata tempat, akhirnya mereka memutuskan untuk membuat laporan polis.
Tidak lama selepas itu, mereka dimaklumkan seorang pengendali bot di sungai berkenaan ternampak seorang kanak-kanak sudah tenggelam dengan hanya tiga telunjuk jari sahaja yang kelihatan.
Namun, sehingga sekarang mereka tidak dapat ada sebarang jawapan bagaimana Jonathan boleh pergi dengan jarak yang begitu jauh kerana keadaannya yang tidak boleh bertutur.
“Jadi dengan peristiwa itu, kita tahu bahawa anak-anak sepertinya memerlukan dokongan dan perhatian dari orang lain. Mereka sangat bergantung kepada orang lain untuk menjalani kehidupan seharian,” ujar Roselind Wee.
Namun, di sebalik ketabahan pasangan suami isteri ini, kesayuan hati dan kebimbangan mereka tidak dapat dibendung lagi terutamanya apabila memikirkan masa hadapan dan nasib Jonathan apabila mereka sudah tiada nanti.
“Saya tertanya-tanya apakah yang akan terjadi kepada Jonathan sekiranya saya dan suami tiada ada lagi di dunia ini. Saya tidak dapat membayangkan nasib Jonathan setelah kami tiada,”tambahnya dengan nada sebak.
Beliau berharap agar ada pusat jagaan khas untuk anak-anak seperti Jonathan supaya pada masa akan datang apabila tiba waktunya ibu bapa atau penjaga mereka tidak ada lagi, sekurang-kurangnya kebajikan mereka terjaga.
Di KAA, pelatih dilatih dan di bimbing untuk berkebun dan menghasilkan kraftangan seperti produk daripada manik dan lukisan untuk dijual bagi menlengkapkan mereka dengan kemahiran untuk kelangsungan hidup di masa depan.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) di New York memaklumkan seramai satu daripada 68 kanak-kanak adalah Autistik.
Ini bermakna anggaran lebih kurang 9,000 kanak-kanak di Malaysia dilahirkan dengan autisme setiap tahun.
Kanak-kanak lelaki empat kali lebih cenderung menghidapi autisme berbanding kanak-kanak perempuan.