KUCHING, 25 JULAI: Sekolah-sekolah di dalam zon hijau ataupun kawasan yang mempunyai angka kes Covid-19 rendah dicadang dibuka terlebih dahulu bagi sesi persekolahan secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka mulai 1 September ini.
Perkara ini diutarakan oleh Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Adam Prakash Abdullah mengambil kira keselamatan pelajar-pelajar dalam setiap kawasan.
“Sejak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat untuk sesi PdP secara bersemuka mulai 1 September ini, saya masih berpendapat pihak KPM perlu menyediakan garis panduan yang lebih jelas.
“Namun begitu, STU ingin mengutarakan pandangan di mana sekolah-sekolah di zon-zon hijau atau kawasan kurang kes Covid-19 bolehlah didahulukan untuk beroperasi,” katanya ketika dihubungi TVS pada Ahad.
Pada pertengahan Julai yang lepas, KPM mengumumkan operasi sekolah secara bersemuka mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 dalam negara dengan sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos.
Ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.
Bagaimanapun STU melahirkan kebimbangan terhadap pengumuman ini di mana strategi yang jelas dan berkesan perlu dibekalkan bersama.
Adam berpendapat KPM tidak boleh semata-mata menggunakan laporan status semasa kes sebagai petunjuk untuk sekolah kembali beroperasi seperti biasa.
Dalam perkembangan sama juga, Adam berkata sekiranya calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dikehendaki untuk kembali ke sekolah dalam masa terdekat, maka proses vaksinasi perlu dipercepatkan.
Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) juga katanya, boleh mempertimbangkan proses vaksinasi pelajar-pelajar ini di ruangan sekolah.
“Sekiranya mereka boleh diberi vaksin, kita utamakan dahulu proses ini.
“Sekembalinya pelajar-pelajar ini ke sekolah, kita mohon KKM untuk memastikan mereka mendapatkan dos suntikan vaksin Covid-19 masing-masing.
“Malah mereka (KKM) juga boleh laksanakan proses vaksinasi ini di sekolah-sekolah,” katanya.
Cadangan ini demi menjamin keselamatan pelajar-pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah daripada virus Covid-19.
Selain pelajar, semua guru juga perlu menerima suntikan vaksin masing-masing sekurang-kurangnya satu dos sebelum kembali bertugas.
Tegasnya kebimbangan tentang keselamatan semua pihak terlibat termasuklah ibu bapa, perlu dikurangkan setidak-tidaknya melalui vaksinasi.