Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
PUTRAJAYA, 25 Julai -- Nasi lemak rendang ayam yang diusahakan Solehan-Manger Ramli yang kini sudah mencipta nama di Amsterdam, Belanda. Solehan menjual makanan popular dari Malaysia yang pada asalnya dimasak sekadar hobi dan disajikan kepada sahabat handai kini memenuhi selera dan menjadi sebutan walau berada lebih 100,000 KM dari negara asalnya.? —fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Nasi Lemak Amsterdam : Dari Hobi Jadi Sumber Pendapatan

Nasi lemak rendang ayam yang diusahakan Solehan-Manger Ramli yang kini sudah mencipta nama di Amsterdam, Belanda.
fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA, 25 Julai — “Kan ik nasi lemak met kip rendang bestellen” (boleh saya pesan nasi lemak rendang ayam), itu antara pesanan yang kerap diterima anak jati Malaysia, Solehan Manger-Ramli, menerusi aplikasi Whatsapp daripada pelanggan di Amsterdam, Belanda sejak 2017.

Bermula dengan hobi sambil menjamu sahabat handai, Solehan yang menetap di Rumpt, Belanda selepas mendirikan rumah tangga dengan warga negara itu kini berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan dari rumah dengan menerima pesanan melalui Whatsapp atau media sosial Facebook dan Instagram.

Beliau gembira apabila pelanggan warga Malaysia yang menetap di Belanda memuji keenakan nasi lemak yang rasanya sama seperti dijual di tanah air, manakala pelanggan warga tempatan di Amsterdam pula mengetahui mengenai masakan popular Malaysia itu menerusi sosial media.

“Rata-rata mereka kenal saya dan mengetahui bahawa nasi lemak ini disediakan oleh orang Malaysia. Rakyat Malaysia termasuk pelajar di sini gelar saya dengan panggilan ‘Kak Ann Nasi Lemak Rendang Ayam’,” kata wanita berusia 44 tahun yang berasal dari Pulau Pinang itu kepada Bernama melalui pesanan Whatsapp.

Mengimbau detik awal berkecimpung dalam perniagaan itu, ibu kepada dua orang anak itu berkata ia bermula apabila rakan-rakan warga Malaysia meminta beliau menyediakan masakan popular Malaysia khususnya nasi lemak kerana rindu setelah lama tidak pulang ke tanah air.

Solehan menggunakan sosial media sebagai platform mempromosikan nasi lemak rendang ayam selain beberapa masakan lain berdasarkan permintaan pelanggan seperti laksa dan kuih-muih tradisional Malaysia.

“Kadang-kadang tidak menang tangan memenuhi pesanan, tapi ini sumber rezeki saya di perantauan, jadi saya berusaha penuhi permintaan mereka,” katanya yang sering turut menjemput tetamu ke rumahnya untuk mencuba menu baharu sebagai kaedah promosi sebelum pandemik COVID-19 melanda.

Menurutnya setelah pandemik COVID-19 reda di Belanda, sambutan daripada pelanggan rakyat tempatan di kawasan sekitar semakin menggalakkan selain menerima pesanan pelanggan tetap seperti pelajar dan rakyat Malaysia.

Mengenai harga, Solehan berkata bagi set nasi lemak biasa sekitar RM30 manakala nasi lemak rendang ayam sekitar RM40.

“Kadar harga begini memang biasa di luar negara, kerana pelanggan sudah faham kesukaran untuk dapatkan bahan-bahan mentah. Tapi saya akan pastikan harga adalah setanding rasa serta kualiti supaya mereka puas hati dan ulang beli,” katanya.

Biasanya beliau akan menghantar pesanan kepada pelanggan sejurus tempahan siap mengikut kuantiti dan hari yang dipesan, namun ada juga pelanggan yang mengambil sendiri di rumahnya.

Mengenai prosedur memulakan perniagaan, Solehan berkata pihak berkuasa Belanda mewajibkan peniaga mendaftar dan memiliki lesen walau sekadar perniagaan kecil-kecilan iaitu sijil pendaftaran perniagaan dari Kamer Van Koop Handel serta Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP), selain perlu mengutamakan aspek kebersihan.

Solehan yang menyimpan hasrat membuka restoran makanan Malaysia,  sentiasa mendapat sokongan moral daripada suaminya Jan-Willem Manger.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan