KUCHING, 25 Julai: Setakat 23 Julai 2021, terdapat 76 kes COVID-19 varian Delta telah dikesan di Sarawak dan ia menjadikan jumlah kes COVID-19 varian Delta yang dikesan di Sarawak sejak Mei hingga Julai 2021 adalah sebanyak 93 kes.
Bahagian Kuching merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 69 kes, diikuti Samarahan (10 kes), Serian (6 kes), Sri Aman (5 kes), Miri (2 kes) dan Sibu (1 kes).
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dato Dr Mohamed Sapian, daripada jumlah tersebut, 1 kes merupakan kes import A dari luar negara, 4 kes import B dari Semenanjung Malaysia, 8 kes dikesan dalam kalangan tahanan polis dan imigresen di Bahagian Kuching, Sri Aman dan Serian manakala selebihnya merupakan kes jangkitan tempatan.
“Kes varian Delta dikesan di beberapa lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bahagian Kuching seperti PKPD Kampung Astana Lot dan Sungai Bedil Besar, PKPD Kampung Seratau, PKPD Emperoh Nyiru Grait dan PKPD Kampung Bintawa Hilir.”
“Kes varian Delta turut dikesan dalam kalangan kes-kes kluster aktif seperti Kluster Sentosa 2, Kluster Salak Land, Kluster Sungai Bedil Besar, Kluster KM23 Jalan Puncak Borneo, Kluster Pagar Satok, Kluster Jalan Tasik Biru By-Pass, Kluster Duyoh, Kluster Pagar Serian, Kluster Tembok Sri Aman 2 dan Kluster Lorong Perlis Empat Miri,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, seramai 56 kes (60%) belum menerima vaksin COVID-19 manakala 27 kes (29%) telah menerima dos pertama vaksin dan 10 kes (11%) telah menerima dos kedua vaksin sebelum mereka dikesan positif COVID-19.
Walaubagaimanapun, hanya 8 kes telah lengkap menerima vaksin iaitu lebih daripada 14 hari selepas dos kedua.
“Sebanyak 98 peratus kes COVID-19 ini berada pada tahap klinikal 1 dan 2 yang menunjukkan keadaan kes adalah stabil dan tidak memerlukan bantuan oksigen.
“Hanya 1 kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kes tersebut juga dalam keadaan stabil. Tiada kes kematian yang dilaporkan dalam kalangan kes varian Delta tersebut,” tambahnya.
Justeru, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi saranan yang sering ditekankan sebelum ini serta terus kekal berwaspada.