PULAU PANGKOR, 25 JulaiĀ — Kira-kira 30 peratus petugas barisan hadapan dalam sektor pelancongan telah divaksin serakat ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata pihaknya sedang berusaha sedaya upaya mengumpul maklumat mengenai tahap vaksinasi kelompok pemain industri di kawasan tumpuan pelancong di seluruh negara.
“Kita dalam proses kumpul nama mereka termasuk yang sudah mendaftar dengan MySejahtera untuk segera divaksin. Ini termasuk di Melaka, Pulau Pinang, Johor, Sabah, Kuala Lumpur dan Pahang, khasnya petugas barisan hadapan sektor pelancongan, kraf dan kesenian.
“Walaupun sudah daftar dengan MySejahtera, kita akan cuba bantu mempercepat dan menggandakan bilangan yang divaksin,” katanya dalam lawatan kerja ke Program Vaksinasi di Pulau Pangkor di bawah Inisatif Program COVID-19 Free Destination di sini hari ini.
Nancy berkata petugas barisan hadapan sektor pelancongan seperti pemandu teksi dan pekerja hotel perlu divaksin sebagai langkah persediaan menyambut pelancong, dan kerana itu promosi vaksinasi perlu dilipatgandakan lagi.
“Kita di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membantu usaha menggandakan bilangan masyarakat termasuk petugas barisan hadapan sektor pelancongan agar divaksin dengan cepat, kerana belum ada lagi negeri yang capai 40 hingga 50 peratus (jangkauan komuniti untuk penerimaan vaksin),” katanya.
Sementara itu, Nancy dalam satu kenyataan berkata Pulau Pangkor dijangka mencapai sasaran 80 peratus tahap imuniti kelompok menjelang awal September depan.
āDi Pulau Pangkor, 8,026 penduduk layak menerima vaksin daripada jumlah keseluruhan 11,500 populasi dengan seramai 1,056 orang telah lengkap dos kedua manakala 1,002 telah menerima suntikan dos pertama sejak 11 Julai lepas dan 5,968 orang masih belum menerima vaksin.
āBerdasarkan rekod Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Daerah Manjung, pemberian dos pertama dijangka selesai pada 8 Ogos dan ia akan disusuli dengan pemberian dos kedua mulai 13 Ogos depan, yang menjadikan Pulau Pangkor dijangka mencapai 80 peratus imuniti kelompok pada awal September ini,ā katanya.
Sementara itu Nancy berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Manjung telah memulakan program outreach tiga hari seminggu untuk tempoh lapan minggu berturut-turut mulai 16 Julai lepas dengan sasaran kapasiti pemberian vaksin seramai 540 orang sehari.
Beliau berkata Pulau Pangkor yang juga Pulau Bebas Cukai (PBC) dipilih menjadi sebahagian daripada projek rintis Program Destinasi Bebas COVID-19 dalam fasa dua Pelan Pemulihan Pelancongan.
MOTAC dalam kenyataannya pula berkata pihak kementerian telah menyediakan rangka untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan dalam tiga fasa selari dengan Pelan Pemulihanan Negara (PPN), bagi membantu kerajaan mempercepatkan program vaksinasi dan seterusnya menjayakan Program Destinasi Bebas COVID-19.
Untuk fasa pertama, Langkawi dan Kuching telah dipilih sebagai destinasi rintis bagi program itu.
— BERNAMA