KUCHING, 23 Julai 2021 : Sebut sahaja nama Sarawak, tentunya kita akan teringatkan hutan hujan tropikanya yang rimbun, hidupan liar, semangat patriotisme dan kepelbagaian etniknya.
Terdapat juga cara yang lebih menarik untuk menangkap keindahan yang ada di Sarawak, seperti melalui kandungan hiburan seperti dokumentari, majalah, siri drama, telemovie, filem tayangan, rancangan permainan(game shows) dan rancangan realiti!
Adalah digalakkan bahawa kandungan ini dihasilkan dalam dialek tempatan.
Dalam usaha untuk mendorong bakat tempatan manyampaikan idea mereka, TVS sekali lagi akan menyediakan platform melalui “Pitch-It 2021”, kali ini kembali dengan penganjuran yang lebih besar dari tahun sebelum ini!
Dilancarkan pada 10 Oktober tahun lalu, TVS terus mendorong bakat tempatan untuk mampamerkan idea mereka dalam sesi Pitch-It tahun ini mulai 12 Julai 2021.
Pemohon digalakkan untuk menghantar lebih daripada satu idea.
Ketua Pegawai Eksekutif, Suhaimi Sulaiman berkata, ini adalah peluang bagi kita semua untuk mengembangkan industri kandungan kreatif, mewujudkan pekerjaan dan menjadikan industri ini sebagai penyumbang utama ekonomi kita.
“Sudah tiba waktunya kita menghasilkan kandungan bukan hanya untuk penonton tempatan, tetapi juga untuk pasaran antarabangsa,” tambahnya.
Sambutan luar biasa dari sesi Pitch-It sebelumnya mendorong TVS untuk mencari dan menemui lebih banyak pencipta kandungan tempatan dalam menyediakan kandungan yang segar serta berunsur inspirasi.
Peserta yang berminat boleh membuat permohonan secara atas talian dan mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai syarat dan garis panduan penyerahan di laman web: www.tvstv.my/pitchit.
Tarikh akhir penyertaan adalah pada 10 Ogos 2021, Selasa.
Sementara itu, satu taklimat secara atas talian mengenai proses permohonan dan dokumentasi ‘Pitch-It’ akan dilakukan pada jam 3 petang ini, 23 Julai 2021.
Peserta yang berminat boleh mendaftar untuk mengetahui keterangan lebih lanjut di: bit.ly/PitchIt-Briefing.