KUCHING : Pergolakan politik seperti perebutan kuasa akan menyebabkan keadaan tidak stabil serta tidak sihat kepada pembangunan ekonomi.
Sehubungan itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyeru seluruh rakyat di Sarawak untuk terus perkukuh perpaduan dan bersama menjauhkan Sarawak dari politik yang membawa kepada perpecahan.
Jelasnya segala usaha yang dirancang kerajaan negeri walaupun dengan peruntukan yang besar tidak menjamin kejayaan sekiranya iklim politik tidak baik.
“Walau apa pun yang dirancang oleh kerajaan, peruntukan yang besar tidak menjamin kejayaan jika iklim politik tidak mengizinkan.
“Pergolakan politik dan perebutan kuasa antara parti-parti politik akan menyebabkan keadaan tidak stabil yang tidak sihat kepada pembangunan ekonomi.
“Wang asing akan mengalir keluar dan para pelabur sudah pasti tidak akan melabur di negara-negara atau negeri-negeri yang terumbang-ambing dari segi suasana politiknya” katanya pada Majlis Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2021 Di Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Sementara itu, dalam usaha mengangkat status ekonomi Sarawak setanding negeri-negeri membangun yang lain, Abang Johari berkata langkah jangka panjang termasuk pelaburan telahpun dilaksanakan.
“Tanpa kemudahan infrastruktur yang modern dan efisyen, ekonomi negeri ini tidak akan mampu melangkah ke era ekonomi yang lebih gemilang dengan pantas.” ujarnya lagi.
Beliau turut yakin Sarawak mampu mencapai impiannya menjelang tahun 2030 jika semua memberi tumpuan penuh kepada matlamat menjadi ekonomi maju mengikut acuannya tersendiri.