KUCHING, 23 JULAI: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian memberitahu buat masa ini, Sarawak hanya akan menyuntik vaksin Covid-19 jenis Pfizer kepada penerima dos pertama.
Ini kerana bekalan pada ketika ini hanya berbaki vaksin jenis itu.
“Sekarang di Sarawak, semuanya vaksin jenis Pfizer. Ramai yang tanya, kenapa Pfizer? Ini kerana kesemua dua juta dos Sinovac di Sarawak telah selesai,” katanya ketika ditemui pemberita, pada Jumaat.
Pada masa yang sama, Sarawak sedang mengusahakan kemasukan vaksin dos tunggal jenis Cansino ke dalam negeri ini.
Apa yang menjadi masalah ketika ini adalah vaksin berkenaan masih lagi belum dibekalkan kepada Malaysia.
“Kami dimaklumkan bahawa ia bakal tiba. Namun, saya sendiri tidak pasti bila. Sekiranya ia sampai, ketika itu kita mungkin selesai memvaksinkan kesemua rakyat Sarawak,” katanya.
Jelas Dr. Sim, vaksin dos tunggal adalah penting kerana tidak semua individu mampu untuk datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi mendapatkan dos kedua.
Lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan fizikal.
Bagaimanapun tegasnya Sarawak tidak akan membuat pendekatan mencampur dua vaksin yang berbeza.
Setiap penerima akan menerima dos kedua vaksin yang sama diambil semasa dos pertama.