SIBU: Seorang lelaki maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam satu kemalangan membabitkan pelanggaran dengan sebuah lori yang rosak di bahu jalan.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, kemalangan berlaku apabila penunggang dan pembonceng suami isteri motosikal telah melanggar sebuah lori yang rosak di tepi jalan di Jalan Sungai Merah Sibu.
Meskipun isterinya mengalami kecederaan ringan tetapi apa yang menyayat hati adalah bayi yang dikandung isterinya baru sahaja mencecah 7 bulan telah mengalami keguguran.
“Penunggangnya meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng isteri mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke hospital.
“Malangnya kandungan yang dibawanya berusia 7 bulan tidak dapat diselamatkan. Jadi pembonceng masih berada di hospital untuk mengeluarkan kandungan meninggal tersebut,” katanya.
Pemandu lori dipercayai berhenti di bahu jalan untuk memeriksa keadaan lori tersebut.
Mangsa yang berasal dari Rumah Semourai, Sungai Antu itu meninggal ditempat kejadian.
Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) akta pengangkutan jalan 1987.