Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penebusan sukuk 2025 dan pengambilan semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang diserahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) dijangka akan dimuktamadkan pada suku pertama 2025.

Pengawalselian Bank Negara Malaysia (BNM) tidak jejas hak terhadap Tabung Haji

KUALA LUMPUR, 19 Julai — Pengawalseliaan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) sama sekali tidak akan menghakis hak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan umat Islam ke atas TH.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan ini terutamanya dari segi operasi dan penyelarasan jemaah haji, selaras dengan peruntukan Seksyen 10 Akta Tabung Haji 1995.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga akan terus kekal sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi TH dalam memastikan hak umat Islam dan bakal jemaah haji terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Kementerian Kewangan mengumumkan mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh yang melibatkan cadangan dasar model baharu operasi dan semakan pindaan Akta 535.

Jemaah Menteri turut bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia BNM. 

Zulkifli berkata sepertimana institusi kewangan lain yang dikawal selia BNM, setiap daripadanya mempunyai model pengurusan berbeza dan boleh terus mengekalkan punca kuasa sedia ada, sebagai contoh menurutnya, Bank Rakyat yang masih di bawah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Mengulas lanjut mengenai cadangan menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh, beliau berkata dalam hal ini, pengoperasian TH sebagai intitusi kewangan terbesar umat Islam di negara ini yang diamanahkan menjaga wang lebih 8.3 juta pendeposit perlu dilaksanakan dengan jujur, amanah dan berintegriti.

Tegasnya, pemusatan kuasa terlalu besar ke atas suatu individu atau pihak bagi institusi kewangan terbesar umat Islam di negara ini dikhuatiri boleh membuka jalan kepada ketidakcekapan tadbir urus yang bakal membawa mudarat (kenyataan asal guna Mafsadah) besar kepada TH.

“Oleh itu, perlunya satu kawal selia dari badan yang berkepakaran seperti BNM bagi memastikan TH kekal pada landasannya,” katanya.

Menurut Zulkifli cadangan itu juga selaras hasrat kerajaan untuk menjunjung nilai integriti dan tadbir urus yang baik berasaskan lapan prinsip utama yang digariskan United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP).

Justeru, beliau berharap umat Islam di negara ini dapat memberikan kepercayaan kepadanya, Menteri Kewangan serta kerajaan dalam melaksanakan penambahbaikan ke atas TH.

“Sesungguhnya TH mempunyai signifikan yang besar ke atas umat Islam. Perkara utama adalah untuk memperkasa TH serta berada dalam situasi tadbir urus yang diyakini tanpa sebarang keraguan. Kami akan terus memastikan hak umat Islam kekal terpelihara melalui penambahbaikan operasi TH,” katanya.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan