KUCHING, 18 Julai: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyediakan garis panduan atau strategi yang jelas dan berkesan untuk memastikan sekolah dapat dibuka pada 1 September ini.
Presidennya, Adam Prakash Abdullah berkata STU meragui keputusan KPM itu sekiranya mereka hanya menggunakan laporan status semasa kes sebagai petunjuk untuk sekolah kembali beroperasi seperti biasa.
“STU sebenarnya sangat mengharapkan pelajar dari kelas peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) DAN Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dibenarkan kembali ke sekolah secepat mungkin setelah langkah-langkah keselamatan di ambil untuk memastikan kelas-kelas ini dapat dimulakan dengan segera,” katanya ketika dihubungi TVS, pada Ahad.
Katanya, dengan strategi yang jelas, isu keselamatan pelajar tidak lagi melahirkan kebimbangan.
Mengulas lanjut, beliau yakin guru-guru mempunyai perancangan strategik yang baik bagi menyediakan pelajar-pelajar untuk menghadapi SPM dan STPM.
Perancangan yang akan diambil merangkumi persediaan yang mengambil kira mereka telah lama tidak bersemuka dengan guru-guru mereka.
“Tetapi perancangan ini akan sentiasa terganggu sekiranya KPM meneruskan amalan penangguhan pembukaan sekolah.
“STU mengharapkan agar ada usaha dibuat ke arah membuka sekolah kerana masa interaksi bersama guru adalah sangat penting demi kejayaan pelajar,” ujarnya lagi.
STU berharap agar segala pertimbangan yang diambil untuk kelangsungan pendidikan di Malaysia adalah demi keberkesanan proses pendidikan dan peralihan ilmu demi masa depan pelajar.
“KPM perlu berbincang bersama pihak-pihak yang berkaitan dengan pemegang-pemegang taruh yang terlibat langsung untuk merangka tindakan yang boleh diambil.
“Ia supaya satu ketetapan yang pasti boleh dilaksanakan untuk pembukaan sekolah dalam masa terdekat,” tegasnya.
Jelas Adam lagi, proses tunggu, lihat dan tangguh seperti sekarang mendatangkan banyak masalah kepada guru, pelajar dan juga ibu bapa dan sedikit sebanyak menimbulkan kemarahan pihak-pihak tersebut.
“Amalan sebegini akan menimbulkan suasana yang tidak aman dan guru terus tertekan begitu juga pelajar-pelajar dan ibu bapa.
“STU amat mengharapkan agar proses persekolahan boleh diselesaikan dan dibuka dengan segera,” katanya.
Terdahulu, KPM menerusi kenyataan media mengumumkan sesi persekolahan secara PdPR akan diteruskan sehingga 31 Ogos ini.
Menurut kenyataan itu, sekolah hanya akan dibuka secara berperingkat untuk sesi pembelajaran secara bersemuka mulai 1 September ini.