SEREMBAN, 16 Julai — Seorang lelaki disyaki tokan dadah menjalankan pengedaran dadah di kawasan Felda Palong, ditahan di tepi jalan besar Felda Palong 6, Gemas, Jempol, semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata, hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jempol, penganggur berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira 6.15 petang.
“Hasil penahanan itu polis merampas dua bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan disyaki dadah jenis heroin seberat 205 gram bernilai RM7,200. Rampasan dadah itu dipercayai untuk pasaran di kawasan Felda Palong,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata polis menyita sebuah kereta jenis Honda Accord digunakan lelaki berkenaan yang kemudiannya didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
— BERNAMA