KUCHING, 16 JULAI: Meskipun sudah memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), Sarawak masih menangguhkan aktiviti ibadah korban sempena hari raya Aidiladha.
Demikian tegas Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Tambah beliau, Majlis Islam Sarawak (MIS) kekal dengan pendirian sama yang diumumkan tiga minggu lalu.
“Keputusan masih kekal sehingga ke hari ini kecuali jika ada makluman baharu yang kita terima daripada pihak kerajaan atau pihak Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahupun kerajaan persekutuan, maka kita akan maklumkan kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita, pada Jumaat.
Berkenaan solat Aidiladha pula, keputusan bilangan jemaah dalam masjid dan surau juga tidak berubah dengan ketetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diarahkan.
“Pekeliling yang kita keluarkan baru-baru ini di mana hanya untuk Masjid Jamek Negeri Sarawak,kita benarkan sehingga 500 orang manakala untuk masjid lain dan surau-surau dibenarkan antara 100 hingga ke 200 orang sekali jemaah untuk solat tersebut,” katanya.
Jelas Dr Abdul Rahman pihaknya masih belum menerima sebarang aduan berkaitan pematuhan dan semua jemaah yang hadir kekal berdisiplin.