KUCHING, 16 Julai: Sudahlah kehilangan rumah dalam kebakaran, 13 ekor “anak bulus” kesayangannya turut terkorban sekali dalam tragedi Oktober tahun lepas.
Hari ini, Aminah kembali mengukir senyuman gembira setelah menerima sumbangan rumah melalui Program Rumah Sejahtera anjuran Pusat Khidmat DUN Pantai Damai.
“Saya sangat bersyukur di atas bantuan yang telah diberikan, namun ia juga mengingatkan saya kembali tentang kucing-kucing saa yang terkorban,” katanya kepada TVS, pada Jumaat.
Menurut Aminah, beliau bersama adiknya sebelum ini menetap di rumah pusaka tinggalan ibu bapanya.
Jelasnya, sejak tragedi berkenaan, mereka berdua telah menumpang di rumah sementara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kampung Selangan Batu.
“Semasa kejadian itu, saya dan adik saya sempat menyelamatkan diri tetapi sehelai sepinggang dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Namun saya sedih tidak dapat menyelamatkan anak-anak bulus kesayangan saya,” katanya.
Jelasnya, kebakaran berlaku adalah disebabkan oleh litar pintas sekaligus memusnahkan rumah pusaka dua tingkat itu.
“Pada awalnya, litar pintas berlaku di tingkat dua rumah kami, yang mana tingkat berkenaan berstruktur kayu dan tingkat bawah pula berstruktur batu,” ceritanya ringkas.
Meski kejadian berkenaan sudah berlalu, namun ia masih segar di ingatan Aminah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi memberitahu pembinaan rumah itu mula dilaksanakan pada awal tahun 2021 dan siap sepenuhnya pada awal bulan Julai ini.
“Rumah satu tingkat ini telah memakan belanja RM57,000, lengkap dengan 3 buah bilik tidur, sebuah tandas, ruang tamu dan beranda,” katanya.
Rumah Aminah Kuchit merupakan rumah kelima berjaya ditubuhkan di bawah Program Rumah Sejahtera DUN Pantai Damai sejak mula dilaksanakan pada penghujung tahun 2019.