MIRI, 16 JULAI: Penghantaran vaksin ke kawasan pedalaman Miri melalui ruang udara berjalan lancar meskipun dengan keadaan banjir yang agak menyukarkan kerja-kerja logistik.
Meskipun helikopter yang digunakan tidak dapat mendarat akibat banjir dan keadaan padang yang basah, kecekapan anggota bomba bertindak melakukan ‘winching’ bagi memastikan vaksin tersebut selamat sampai kepada anggota kesihatan yang bertugas di kawasan-kawasan terbabit.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, Khirudin Drahman memberitahu, lima lokasi penghantaran vaksin pada hari ini melibatkan Long Teru, Long Ulu Teru, Long Teran, Long Jegan dan Long Luyang di Baram.
“Sebanyak 1,686 dos vaksin Sinovac telah dihantar ke lima kawasan berkenaan pada hari ini, melibatkan kekuatan seramai enam pegawai bomba bersama tiga pegawai Kementerian Kesihatan (KKM),” jelas Khirudin.
Sejak 11 Jun lalu di mana pihak bomba pertama kali terlibat dalam pengangkutan vaksin ke kawasan pedalaman, setakat 13 Julai sebanyak 19,226 dos vaksin telah dihantar.
Bahagian Miri mengalami banjir susulan hujan lebat berterusan sejak Isnin lalu sehingga menyebabkan kesukaran penduduk untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Berikutan itu, aktiviti pemberian vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Long Lama dan Long Jegan terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu sehingga dimaklumkan kemudian.
Sementara itu, PPV klinik di Mulu yang sebelum ini ditangguhkan akibat banjir, kini diaktifkan semula.
Bagi PPV klinik kawasan Long Luyang pula, penduduk boleh menggunakan perahu untuk mendapatkan suntikan vaksin mereka.